Wednesday, October 19, 2011

Laporan Audit Negara : Apa yang Najib mahu disembunyikan?


Kegagalan pihak kerajaan memberi penjelasan kenapa Laporan Ketua Audit Negara lewat dibentangkan di Parlimen kini bertukar menjadi skandal besar.


Sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan bahawa apabila ditanya bilakah laporan tersebut akan dibentangkan di parlimen, seorang pegawai dari pejabat Ketua Audit Negara menjawab secara selamba bahawa laporan itu akan dibentangkan pada 1 Disember, hari terakhir sesi sidang parlimen kali ini.

Apabila seorang wartawan akhirnya berjaya menghubungi Timbalan Ketua Audit, beliau berkata beliau tidak perlu menjawab apa-apa soalan, termasuk bila laporan itu siap atau bila ianya akan dibentangkan di Parlimen. Beliau mencadangkan agar soalan seumpama itu diajukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Dan Nazri, yang bertanggungjawab tentang urusan parlimen, dilaporkan akhbar itu pada 10 Oktober sebagai berkata bahawa beliau tidak pasti bilakah laporan itu akan dibentangkan di Parlimen kerana tugas itu adalah tanggungjawab Kementerian Kewangan.

Nazri selanjutnya dilaporkan dalam internet pada 11 Oktober berkata bahawa beliau menjangka laporan itu akan dikeluarkan dua minggu setelah kabinet menelitinya dalam mesyuarat kabinet pada 14 Oktober.

Ahli Parlimen PKR-Sungai Petani, Johari Abdul memberikan jawapannya. Apabila disoal wartawan di parlimen pada 13 Oktober beliau memberitahu bahawa beliau sendiri telah menelefon pejabat Ketua Audit pada hari sebelumnya.

Beliau diberitahu bahawa laporan itu sudah siap lebih awal berbanding tahun lalu dan para pegawai tersebut merasa bangga kerana telah berjaya melaksanakan tugas itu (menyiapkan laporan itu) dengan lebih baik berbanding tahun lalu.

Malahan, para pegawai tersebut terkejut apabila diberitahu bahawa laporan itu tidak sampai di tangan ahli-ahli parlimen.

Sudah menjadi tradisi bahawa laporan Ketua Audit itu mesti sampai di tangan ahli-ahli parlimen pada tepat waktunya sebagai persediaan menghadapi pembahasan bajet tahunan.

Penangguhan yang sangat lama pada tahun ini (10 hari selepas belanjawan negara dibentangkan pada 7 Oktober), walaupun dikecam hebat oleh ahli-ahli parlimen pembangkang, adalah sesuatu yang luar biasa.

Daripada cakap-cakap mulut Nazri dan para pegawai Ketua Audit, tidak dapat disangsikan lagi bahawa laporan tahunan ini telah disembunyikan di mana-mana di antara pejabat Ketua Audit dan parlimen.

Institusi bebas

Mengganggu tugas Ketua Audit merupakan satu kesalahan di bawah perlembagaan kerana Ketua Audit adalah institusi yang bebas seperti mana tahap kebebasan yang dinikmati oleh pihak kehakiman dan suruhanjaya pilihan raya.

Selain daripada dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, keraian dan terma-terma perkhidmatan Ketua Audit ditentukan oleh Parlimen.

Beliau tidak boleh dipecat daripada tugasnya melainkan melalui sebuah tribunal seperti mana yang dinikmati oleh para hakim (Artikel 105 Perlembagaan Persekutuan). Laporan-laporan Ketua Audit terus dikemukakan kepada Agong yang menentukan ianya dibentangkan di parlimen (Artikel 107).

Adalah jelas bahawa peruntukan yang begitu ketat ini di bawah perlembagaan bertujuan untuk memberi kebebasan kepada Ketua Audit untuk memastikan bahawa beliau boleh menjalankan tugas dengan bebas sebagai sebuah badan yang neutral untuk meneliti pengurusan kewangan kerajaan tanpa campurtangan dari Eksekutif.

Saluran komunikasi direka sedemikian rupa supaya ianya melangkaui pihak Eksekutif. Ianya dari Ketua Audit terus kepada Agong dan daripada Agong terus kepada Parlimen. Di sini jelas bahawa pihak Eksekutif tidak mempunyai peranan dalam merencana laporan-laporan Ketua Audit atau pembentangannya di Parlimen.

Makanya situasi ini amat membimbangkan apabila kita diberitahu bahawa laporan itu harus dibahas oleh kabinet dan bergantung kepada Kementerian Kewangan untuk mengeluarkannya.

Dengan pendedahan terbaru bahawa laporan itu hanya akan dikeluarkan pada hari terakhir sesi parlimen kali ini dan keengganan Timbalan Ketua Audit untuk memberi sebarang maklumat bermakna situasinya kini menjadi lebih jelas.

Ketua Audit yang dipuji pada masa lampau kerana menyediakan laporan penilaian yang bebas berhubung pengurusan kewangan kerajaan, telah menjadi mangsa terbaru kepada cengkaman tangan-tangan halus Barisan Nasional (BN) yang mencabul kebebasan hampir semua institusi di negara ini.

Untuk menyelamatkan institusi ini daripada cengkaman dan menjadi agensi yang berada di bawah kawalan BN, Ambrin Buang harus bangkit menyuarakan dengan berani.

Beliau mesti memberitahu rakyat bila dan kepada siapa beliau menyerahkan laporan tahunannya serta sama ada terdapat percubaan pihak Eksekutif untuk meminda isi kandungannya atau melengah-lengahkan pengeluaran laporan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak harus menjelaskan apakah tindakan yang diambil oleh Eksekutif berhubung laporan Ketua Audit itu.

Jika beliau gagal berbuat demikian maka ahli-ahli parlimen harus membawa usul untuk mendakwa Perdana Menteri atas sebab pecah amanah di bawah perlembagaan.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails