Friday, October 21, 2011

Gambar : Siswa berdemo desak tarik balik gantung tugas Aziz Bari



Tidak kurang 700 mahasiswa hari ini berhimpun bagi membantah tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.


Perhimpunan itu berlansung di perkarangan masjid di UIA selepas solat Jumaat.

Mereka melaungkan “Hidup Ilmu”, “Lawan Kezaliman”, “Bebas Aziz Bari” dan menuntut kebebasan akademik di universiti khususnya di kampus berkenaan dipelihara.

Mereka yang berang itu menyokong dan mendokong Abdul Aziz serta mendesak universiti membatalkan hukuman penggantungan kepada pakar pelembagaan itu.




Sewaktu hendak berarak menghantar memorandum, berlaku kekcohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka daripada menuju ke pejabat rektor UIA, menyebabkan berlakunya tolak menolak berlaku.

Semalam UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Sebelum itu, sejak tengahari tadi, pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang UIA manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.

Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.

"Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.

"Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini,” kata pengawal keselamatan itu.

Pagi tadi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Rektor UIA Prof Datuk Zaleha Kamarudin menarik balik hukuman terhadap pakar perlembagaan itu.

Mereka menuntut penggantungan tersebut ditarik balik dengan kadar segera "bagi memulihkan imej UIA sebagai institusi akademik yang disegani".

Mereka juga mendesak agar pihak universiti mengadakan siasatan secara adil terhadap kenyataan akademik Abdul Aziz dan bukan melalui "tekanan undang-undang-undang yang bercanggah dengan prinsip akademik".

"Mahasiswa menuntut agar pihak universiti menghormati prinsip kebebasan akademik selaras dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," kata mereka dalam satu memorandum.

Memondum tersebut disokong oleh sembilan ahli gabungan dalam SMM antaranya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)- Malaysiakini.
















Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails