Monday, October 31, 2011

Bila kena Batang Hidung sendiri..



Jika kita meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2010, kita akan melihat terlalu banyak ketirisan yang berlaku dalam Jabatan-Jabatan Kerajaan yang ditadbir oleh Kerajaan UMNO/BN.


Malah beberapa peralatan yang dibeli oleh Jabatan Kerajaan itu layak untuk disenaraikan dalam Guiness Book of Record kerana terlalu mahal dan paling mahal di dunia.

Nak diletakkan 100% kesalahan itu ke bahu kakitangan bawahan bukanlah satu tindakan yang wajar.

Ini kerana mereka mungkin hanya menjalankan tugas dan mereka juga mungkin terlalu menurut pertintah dalam pada itu mereka juga mungkin mencontohi apa yang pemimpin atasan mereka lakukan..

Kan orang tua-tua ada berkata… busuknya seekor ikan itu bermula dari kepala.. kepalanya siapa?? Takkan Anwar Ibrahim kot….

Bacalah.. Puad Zarkashi mempertikaikan Laporan Ketua Audit Negara kerana mendedahkan terlalu banyak pembaziran yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO/BN..


*******************

Elak tanggapan negatif

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Laporan Ketua Audit Negara 2010 sepatutnya lebih bersifat komprehensif dengan menjelaskan secara terperinci bagaimana sesuatu perkara itu diklasifikasikan sebagai perbelanjaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia penting bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat bahawa berlaku penyelewengan dan salah laku oleh pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi dalam perbelanjaan yang dilaporkan.

"Sebagai contoh, Kementerian Pelajaran dikatakan berbelanja melebihi peruntukan sebenar bagi perbelanjaan pengurusan 2010.

"Hakikatnya, kementerian telah mendapat peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diterima untuk perbelanjaan tersebut termasuk elaun perjalanan guru tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 bahawa sembilan kementerian atau jabatan berbelanja RM3.73 bilion melebihi peruntukan keseluruhan yang diluluskan.

Sembilan kementerian itu adalah Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Mohd. Puad turut hairan bagaimana laporan berkenaan projek bekalan air bersih di luar bandar menerusi program Perigi Tiub (Tube Well) hanya menyentuh dua syarikat iaitu Rossington Consolidated Sdn. Bhd. (RCSB) dan Duta Sierra Development Sdn. Bhd.

Katanya, sebuah lagi syarikat iaitu Azair Sdn. Bhd. juga mempunyai kelemahan dan patut ditegur dalam melaksanakan program tersebut di Sabah dan Sarawak.

Berhubung laporan bahawa hanya dua daripada 300 makmal komputer sekolah rendah yang dirancang dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Sabah berjaya disiapkan, beliau berpendapat Ketua Audit Negara sepatutnya membuat pendedahan yang lebih telus.

Katanya, ini termasuk mendedahkan bahawa masalah yang berbangkit adalah berpunca daripada pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan ingin mengaut keuntungan semata-mata.

"Bagaimanapun, setiap laporan Ketua Audit Negara perlu diambil secara positif walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mendesak pihak berkuasa terutama SPRM mengambil tindakan segera menyiasat kes penyelewengan dalam perbelanjaan di jabatan kerajaan seperti yang didedahkan dalam laporan audit itu.

Tsu Koon berkata, langkah itu akan membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadi lebih telus.

"Siasatan perlu dilakukan segera terutama bagi kes berkaitan pembelian barang yang dibayar dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran. Perkara ini sudah menjadi buah mulut orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti Gerakan di sini hari ini.

Tsu Koon memberi contoh, pendedahan laporan audit mengenai harga tiga barang yang dibeli oleh Jabatan Taman Laut Malaysia berjumlah RM56,350 amat mengejutkan ramai pihak sedangkan harga pasarannya tidak semahal itu.


Lidah Rasmi UMNO

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails