Friday, September 2, 2011

UMNO, British dan PKM.. Sejarah yang tidak dicatat sebagai Sejarah..

Ditulis oleh Tongkat Bahaman

“Musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat…..” Prof. Shamsul Amri Baharudin.

Ini bukan nasihat dari seorang profesor kangkong. Ini nasihat dari seorang yang betul-betul profesor yang cuba menyedarkan pemimpin-peminpin UMNO supaya mereka dapat melihat siapa musuh mereka sebenar.

Mereka juga perlu sedar dan faham bahawa kita sedang berada di abad 21 dan bukan lagi era tahun 60an abad 20 di mana rakyat mendapat maklumat hanya dari corong Radio Malaya dan berlibur dengan menonton wayang pacak di padang yang menceritakan tentang bahaya cacing kerawit kemudian diselit pula dengan propaganda-propaganda….!


Ini zaman IT - Pasca Angkasa Lepas (makna ditekan) di mana berita dan peristiwa dapat dipancar sekelip mata menerusi satelit ke seluruh dunia. Zaman Generasi You Tube, Twitter – Face book; anak semua bangsa berkenal dan berinteraksi dengan pantas menerusi sistem saraf rangkaian maklumat digital – generasi perubahan yang sedar bahawa mereka bertanggung jawab untuk memberi makna kepada masa depan serta hak dan nasib rakyat.

Menerusi sistem saraf rangkaian maklumat ini mereka bukan sahaja mampu menilai semula sejarah negara bangsa malah makna kemerdekaan itu sendiri, yang selama ini di kulum dengan rasa mual dan penuh ketidakpastian. Mereka begitu keliru tentangnya.

Haruskah sejarah yang ditulis oleh bangsawan Melayu gendut ini diwariskan untuk generasi akan datang sedang mereka sendiri keliru tentangnya……! Kata George Santayana “sesiapa yang melupai sejarah (bangsa dan negaranya) akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali…” Apakah maksud ungkapan ini ?

Rakyat Malaysia bukan melupai sejarah negaranya tetapi mereka sebenarnya tidak faham. Tidak ada seorang pelajar yang benar-benar tahu atau professor sejarah yang berani bercerita tentang sejarah kita yang sebenar kerana bimbang implikasi berbagai akta. Akhirnya tiada orang yang benar-benar tahu tentang sejarah negara dan bangsanya termasuklah kalangan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.

Kita tidak tahu sama ada kita dijajah oleh Inggeris atau oleh PKM kerana dari gelagat UMNO kita semacam dijajah oleh PKM. Kita tidak tahu sama ada regim kolonial Inggeris atau PKM yang membunuh dan memenjara pemimpin-pemimpin kita yang berjuang di bawah semboyan “MERDEKA”.

Tugu Pahlawan menunjukkan Inggeris sedang menginjak-injak kaki pada gerila-gerila PKM yang gugur sambil mengibarkan bendera jalur gemilang. Senario ini menunjukkan kita merdeka dari PKM dan bukan dari Inggeris.

Di situ juga kita membaca jajaran nama askar-askar British yang terkorban dalam perang bersama gerila PKM sejak darurat diistiharkan oleh British pada 18 Jun 1948. Kita juga tidak tahu sama ada kita terhutang budi dengan British atau PKM justeru kemerdekaan tanah air kita. Begitu juga tentang apa sebab Inggeris memerdekakan negara kita.

Sebahagian rahsia sejarah sebenar tersimpan dalam benak kapitalis birokrat aka bangsawan gendut yang mengambilalih kuasa dari British. Dari cebis-cebis coretan para gerila yang masih mereka genggam, mereka berkata Inggeris lari kerana tidak tahan dengan ribuan serangan dari mereka hingga terpaksa merdekakan Malaya secara bersyarat.

Kita juga tidak pernah tahu syarat-syarat itu kecuali satu dua antaranya supaya UMNO dan Kerajaan Perikatan terus melancar perang dalam negeri terhadap PKM. Peperangan ini menguntungkan British yang bertindak sebagai penjual senjata di samping pada masa yang sama sempat mengurus segala asset dan modalnya.

British tidak menyuruh UMNO memusuhi PKM hingga kiamat ia memadai untuk satu masa bagi memberi sedikit ruang kepada British untuk mengambil apa yang patut walaupun negara sudah merdeka.

Kita juga tidak tahu tentang sejarah Pasukan Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) pernah bersama British untuk melumpuhkan tentera fasis Jepun pada tahun 1942-1945. Inilah pasukan yang berani menentang tentera fasis Jepun yang telah membunuh ribuan rakyat Malaya yang tidak berdosa.

Kisah ini tidak pernah dibangkit oleh pemerintah sedang British yang lari seperti itek meninggalkan Malaya mengiktiraf jasa-jasa TAJRM yang dipimpin oleh Chin Peng dengan dua anugerah yang besar di London.

British masuk semula pada tahun 1945 melihat kebangkitan baru untuk menuntut merdeka - KRIS, PKMM, PKM,API,AWAS kesatuan Buruh dan lain-lain yang membentuk PUTERA-AMCJA. Pada tahun 1948 Mereka menentang Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

PUTERA-AMCJA pernah menyanggah Dato’ Onn yang memberi kerjasama kepada Inggeris memaksa raja-raja Melayu menandatangani perjanjian ini kerana ia sedikitpun tidak menyebut soal merdeka.

Justeru akhirnya perjanjian ini gagal dan PUTERA-AMCJA telah mengemukakan 10 pasal perlembagaan Malaya Merdeka serta bendera Sang Saka Merah Putih lambang tuntutan kemerdekaan. Mereka menggabung pertubuhan politik dan seluruh warga Malaya patriotik-demokratik bangun melancarkan HARTAL di seluruh negara sehingga ia begitu mencemaskan British.

Dalam perjuangan kemerdekaan Dato’ Onn dianggap oleh golongan progresif sebagai duri dalam daging yang sentiasa menghalang gerakan yang menuntut kemerdekaan.

British telah merencana beberapa rusuhan kaum di Batu Pahat dan Muar Johor, begitu juga di Sungai Manik Perak yang kemudiannya di damaikan oleh PKM. Dato Onn lebih selesa hidup di bawah British kerana katanya dengan Inggeris kita boleh makan daging tetapi kalau merdeka kita akan makan ubi kayu.

Dato’ Onn memusuhi golongan kiri dan parti-parti progresif kiri seperti PKMM, API, AWAS dan PKM. HARTAL 1948 yang dilancar secara besar-besaran dan tuntutan) kemerdekaan (tekanan ditambah) menyebabkan British mengistiharkan Undang-Undang Darurat.

400,000 askar British telah dibawah masuk untuk melancarkan perang terhadap pemimpin-pemimpin kiri yang menuntut merdeka.

British dengan persetujuan Dato’ Onn telah mengharamkan seluruh parti-parti politik di Malaya pada tahun 1948 – ribuan pemimpin-pemimpinnya ditangkap dipenjara dan dibunuh.

Inilah detik malapetaka paling besar buat pejuang-pejuang progresif di Malaya yang akhirnya kemenangan memihak kepada UMNO kerana seluruh parti-parti politik di Malaya ketika itu telah diharamkan dan pemimpin-pemimpinnya ditangkap. Mulai detik inilah pena dan lembaran sejarah terlepas kepada Kapitalis Birokrat aka Kelas Bangsawan Melayu.

UMNO pada ketika itu hanya gerombolan seperti PERKASA yang muncul pada hari BERSIH 709 sedangkan golongan patriotik-demokratik PUTERA-AMCJA mempunyai hampir sejuta ahli. Di bawah undang-undang darurat ini pemimpin-pemimpin politik selain UMNO di buru, ditangkap dan dipenjara malah ramai yang dibunuh. Mereka dituduh mengancam keselamatan negara oleh British.

Yang terselamat telah melarikan diri ke hutan melancarkan perang gerila atas nama Tentera Pembebasan Nasional Malaya atau Tentera Rakyat. Mereka termasuklah Regimen 10 Melayu yang begitu digeruni British yang dipimpin oleh Abdullah CD bekas anggota PKMM.

Regimen 10 Melayu ini adalah terdiri daripda pengikut-pengikut Dato’ Bahaman yang masih hidup yang berpengkalan di Pahang. Mereka inilah yang meneruskan perjuangan menentang Inggeris hingga pada tahun 1957 Malaya mencapai kemerdekaan.

Percubaan untuk menzalimi anggota PSM yang terbaru di bawah Ordinan Darurat bukanlah suatu yang pelik. Apa yang pernah dilakukan oleh Dato’ Onn kini ingin dicuba sekali lagi oleh cucunya pula.

Bersih dikatakan haram dan mengancam keselamatan negara sebagaimana PUTERA-AMCJA dan parti-parti politik progresif di haramkan pada tahun 1948 oleh British. Pada ketika ini ramai yang ditahan kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan PKM termasuk pengerusi API, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanudin al-Helmi, Pak Sako dan lain-lain.

Osman Awang terselamat kerana beliau hanya menulis sajak walaupun beliau sendiri adalah lebih kiri daripada Pak Samad yang menjadi antara ikon dalam BERSIH 2.0.

Sesiapa yang tidak sealiran dengan UMNO boleh sahaja dikaitkan dengan PKM dan mereka boleh dituduh mengancam keselamatan negara. Idea ini adalah idea penjajah Inggeris sejak melancarkan akta darurat 1948 lagi.

Artikel ini dipetik dari Tongkat Bahaman.Com

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails