Tuesday, September 13, 2011

Ummi Hafilda melopong lagi..

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman fitnah dengan tuntutan ganti rugi RM100 juta yang difailkan ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali terhadap bekas rakan perniagaannya dan portal berita Malaysiakini.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu dalam kamar berikutan peguam kedua-dua pihak tidak hadir ke mahkamah.

Saman itu, yang difailkan pada 17 Mac lalu, dijadualkan untuk sebutan hari ini.


Ummi Hafilda, 43, memfailkan saman itu melalui Tetuan Sahrihan & Hamdan di kaunter Mahkamah Sivil dengan menamakan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda sebagai defendan pertama dan Mkini Dotcom Sdn Bhd yang menyelenggarakan laman berita Malaysiakini sebagai defendan kedua.

Ummi Hafilda dalam saman pemula itu mendakwa defendan dalam satu temu ramah di lobi bangunan Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah dan menyerangnya secara peribadi.

Beliau mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Nor Azman adalah semata-mata untuk memalukannya dan bermotifkan niat jahat.

Ummi Hafilda juga mendakwa kenyataan Nor Azman seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal dan amat tidak jujur, serta terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau mendakwa defendan kedua pula telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah tersebut di web portal www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu.

Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, plaintif memohon satu injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan-kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

Ummi Hafilda juga turut memohon ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, serta lain-lain relif yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

- Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails