Thursday, September 29, 2011

Rais Yatim kata Video Clip 'Undilah' tak disenangi segolongan masyarakat.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata klip video Undilah tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat.

Tidak disenangi segolongan masyarakat? Masyarakat mana yang Rais maksudkan itu?? sudah tentulah golongan masyarakat dari UMNO.. baik pemimpin mahupun pencacai..


Klip Undilah tak disenangi orang ramai, kata Rais

KAMPUNG GAJAH, 29 Sept – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata klip video Undilah tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat.

“Klip video itu juga mengandungi iktibar yang tersirat yang mengelirukan beberapa pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni bagi kawasan Parlimen Pasir Salak di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, Rais berkata, penarikan semula penyiaran klip video Undilah sebelum ini dibuat kerana ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem.

“LPF bukan terletak di bawah tanggungjawab kementerian saya sebaliknya terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang akan menentukan kedudukan penayangan klip video itu sama ada boleh ditayangkan atau tidak,”katanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum ini menyatakan klip video Undilah belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen.

Sabtu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata klip video itu belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan.

Agensi itu berkata, hasil pemantauan pematuhan secara rutin dibuat menunjukkan pengumuman khidmat awam yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo belum mendapat kelulusan daripada LPF. SKMM menambah, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.

Bagaimanapun katanya, arahan itu tidak melibatkan kandungan klip berkenaan tetapi hanya berkaitan pematuhan oleh pihak penyiar.

“Arahan ini adalah mengenai pematuhan oleh pihak penyiar dan bukannya kandungan pengumuman khidmat awam tersebut,” kata SKMM.

Kenyataan SKMM berkata, adalah menjadi amalan biasa untuk pihaknya mengarahkan penarikan kandungan yang belum diberi kelulusan oleh LPF untuk ditayangkan.

Banyak pihak termasuk mereka yang menjayakan penerbitan klip itu mengkritik tindakan SKMM yang melarang stesen penyiaran lokal daripada menyiarkan bahan itu.

Misalnya, pertubuhan Bersih 2.0 menyifatkan tindakan kerajaan mengharamkan siaran klip video Undilah, yang bertujan menggalakkan orang mengundi ketika pilihan raya, bercanggah dengan pendirian pembaharuan politik yang diwar-warkan oleh pentadbiran Najib.

Justeru kepimpinan Bersih 2.0 menggesa SKMM membenarkan agar klip itu — satu bentuk pemakluman awam — terus disiarkan oleh stesen siaran tempatan kerana ia tidak membawa sebarang ancaman kepada negara.

Hujung minggu lalu, The Malaysian Insider melaporkan bahawa bahan terbitan Teo dilarang diterbitkan kerana memaparkan kemunculan beberapa wakil rakyat pembangkang dan mesej Tengku Razaleigh yang menyentuh bahawa Malaysia berhadapan dengan beberapa masalah.

Difahamkan SKMM memberi arahan kepada stesen penyiaran tempatan minggu ini selepas ia mula ke udara sempena sambutan Hari Malaysia.

Selain Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno dan Ketua Pemuda MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yang juga Ketua Puteri Umno.

Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Kira-kira empat juta rakyat negara ini yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.

Turut disenaraikan ialah pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails