Monday, September 12, 2011

PANAS!! Terengganu Cadang Cemar kesucian Islam

Sebelum itu.. terima kasih buat sahabat yang sudi mengingatkan..



KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia membantah cadangan kerajaan Terengganu membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa kerana membawa impak negatif dalam sosiologi masyarakat dan mencemar kesucian Islam.


Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata tindakan sedemikian berlawanan dengan hukum syarak kerana tercatat dalam undang-undang Enakmen Keluarga Islam anak tidak sah taraf hanya boleh dinasabkan kepada ibunya saja.

Masyarakat akan sewenang-wenangnya melakukan zina dan maksiat bermaharajalela kerana tiada kekangan sekali gus menggalakkan peningkatan bilangan anak luar nikah. Dari segi hukum, taraf berkenaan memberi kesan apabila melangsungkan perkahwinan kerana anak luar nikah tidak boleh berwalikan bapanya.

Ada sebab Allah tetapkan hukumnya. Mungkin menyenangkan dari aspek menyekolahkan anak dan menutup aib anak, namun hukum syarak tidak melihat pada individu sebaliknya keseluruhannya. Jika mahu dilaksanakan, seragamkan ia di seluruh negara, katanya kepada Berita Minggu, di sini, semalam.

Laporan baru-baru ini menyebut hasrat Terengganu mencadangkan mekanisme bagi membolehkan nama anak tidak sah taraf, iaitu anak dilahirkan selepas pernikahan ibu bapa berusia enam bulan dan kurang, didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa.

Difahamkan, ia tidak membabitkan pindaan akta Seksyen 13 Akta Pendaftaran Negara 1960 bagi membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan nama ayah, sebaliknya hanya memerlukan kelulusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Awal, berkata cadangan mendaftarkan sijil kelahiran anak tidak sah taraf dengan bin atau binti bapa hanya akan menambah tekanan emosi kanak-kanak kerana ia umpama mendedahkan perkara berkenaan kepada umum secara terbuka.

Katanya, cadangan kerajaan Terengganu itu bukan jawapan tepat dalam menangani masalah tekanan emosi yang dihadapi anak tidak sah taraf, sebaliknya perlu mempertingkatkan kesedaran orang ramai bahawa anak tidak sah taraf itu tidak berdosa.

Beliau berkata, status anak tidak sah taraf sepatutnya hanya perlu diketahui oleh ibu bapa, anak dan pejabat agama saja kerana perkara berkenaan hanya akan berbangkit apabila anak berkenaan ingin bernikah atau menjadi wali kepada saudara perempuannya sekiranya bapa yang sepatutnya menjadi wali meninggal dunia - Berita Harian Online

Berita sebelumnya..


Bin bapa (Seksyen 13)
Oleh Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sudah merumus mekanisme dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa bagi mengelak kanak-kanak berkenaan menanggung tekanan emosi terutama ketika mula bersekolah.

Nama bapa juga dicadangkan supaya turut dicatatkan dalam kad pengenalan tetapi akan diikuti dengan satu kod rujukan ‘Seksyen 13’ bagi memudahkan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan mengetahui status individu berkenaan apabila kanak-kanak itu dewasa terutama untuk proses akad nikah bagi pengantin perempuan.

Mekanisme cadangan itu sudah diumumkan kerajaan negeri dalam mesyuarat khas ketua-ketua jabatan, Isnin lalu membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), JPN negeri, Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengelakkan tekanan emosi terpaksa dilalui anak tidak sah taraf.

Berdasarkan prosedur JPN kini, anak yang dilahirkan ibu yang bernikah kurang enam bulan perlu dibinkan Abdullah dan bukan nama bapa. Berikutan mesyuarat itu, JPN sudah bersetuju dengan cadangan itu dan akan membuat beberapa perubahan dalam akta sedia ada di Parlimen untuk dikuatkuasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, jika bayi itu dilahirkan dalam usia pernikahan ibu bapanya enam bulan dan kurang, kerajaan negeri mencadangkan supaya nama bapa dikekalkan pada sijil kelahiran dan kad pengenalan, tetapi perlu mencatatkan Seksyen 13.

Beliau berkata, cadangan itu diputuskan dengan mengambil kira kepentingan umum kerana mengikut prosedur semasa pelbagai masalah dan tekanan terpaksa dilalui kanak-kanak tidak sah taraf sedangkan mereka tidak berdosa, walaupun mereka boleh membuat rayuan pindaan bin atau binti bapa dalam kad pengenalan apabila berumur 12 tahun.

“Dalam mesyuarat khas yang diadakan Isnin lalu, kita sudah mengemukakan kertas cadangan ini kepada JPN untuk memudahkan mereka membuat pindaan akta yang berkaitan.

“Kita di peringkat negeri termasuk Jabatan Mufti dan bahagian pendaftaran nikah kahwin JHEAT sudah setuju dan memperkemas kertas cadangan ini untuk diserahkan kepada Majlis Fatwa Negeri bagi dibincangkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011 JHEAT, di sini, semalam.

Pada majlis itu, 60 pegawai dan kakitangan JHEAT termasuk Pesuruhjayanya, Rozali Salleh dianugerahkan APC dan mereka menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil.

Mengulas lanjut, Khazan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit berkata, tahun lalu saja 623 anak tidak sah taraf didaftarkan dengan JPN negeri.

“Jika proses pendaftaran nama dengan bin atau binti bapa boleh dilakukan, termasuk dicatatkan pada kad pengenalan, masa depan kanak-kanak itu lebih terjamin kerana dapat melalui kehidupan yang selesa apabila tidak perlu melalui tekanan mempunyai bin atau binti yang berlainan dengan bapa mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, berkuat kuasa serta merta kerajaan negeri memutuskan, sijil nikah yang dikeluarkan di negara lain termasuk Thailand boleh digunakan untuk urusan pendaftaran kelahiran bayi di Terengganu walaupun pernikahan itu tidak didaftar dan disahkan Mahkamah Syariah negeri.

Katanya, JPN negeri diminta mengeluarkan sijil kelahiran bayi walaupun ibu bapa anak terbabit mengemukakan sijil nikah dikeluarkan Jabatan Agama negara lain, termasuk Thailand, Brunei, Indonesia dan Singapura.

“Jika sijil perkahwinan dikemukakan ketika proses membuat sijil kelahiran mengelirukan, JPN negeri boleh rujuk JHEAT,” katanya - myMetro

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails