Friday, September 16, 2011

Najib Mansuh ISA : Ibrahim Ali tak puas hati..

KUALA LUMPUR, 16 Sept ─ Pertubuhan bukan kerajaan membela orang Melayu, Perkasa mengambil sikap berhati-hati tetapi menasihatkan “jangan keris makan tuan” ekoran pentadbiran Najib memperkenalkan pembaharuan politik ─ antara lain memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Justeru, Presidennya Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, Perkasa mengambil sikap tunggu dan melihat undang-undang baru yang akan diperkenalkan dan jangan akhirnya kelonggaran yang diberikan membawa mudarat.


Bekas tahanan ISA ini berkata, banyak perkara yang wajib diteliti kerana Malaysia negara majmuk dan terdapat golongan yang masih tebal dengan sikap perkauman dan tidak menghormati asas perlembagaan negara dengan pelbagai tuntutan seperti yang disaksikan mutakhir ini.

“Apakah keputusan ini dibuat untuk menjadi kerajaan popular atau berpegang kepada keselamatan negara lebih diutamakan. Oleh itu, Perkasa bersikap tunggu dan lihat,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini dalam satu kenyataan.

Badan pendesak ini, kata Ibrahim, mengalu-alukan dan menyambut baik pemansuhan semua undang-undang darurat yang sudah tidak relevan.

“Tahniah Perkasa ucapkan kepada Perdana Menteri sempena sambutan Hari Malaysia dan Kemerdekaan Ke-54. Mengenai pemansuhan ISA dan diganti dengan undang-undang baru serta peralihan kuasa menahan untuk pencegahan, tempoh tahanan,” katanya lagi.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.
Link
Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails