Thursday, September 22, 2011

Melaka nak jadi Las Vegas pula..

MELAKA 21 Sept. – Sebahagian daripada penduduk di negeri ini kini melahirkan kebimbangan dengan kewujudan pusat-pusat perjudian haram yang tumbuh membiak bagai cendawan di negeri itu tanpa tindakan tegas pihak penguat kuasa.

Pusat perjudian yang beroperasi di kafe-kafe siber di seluruh negeri ini dikatakan turut menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin kerajaan negeri ini.


Menurut sumber, kerajaan negeri pernah melahirkan rasa tidak puas hati itu kerana pihak berkuasa tidak tegas dalam menangani kegiatan itu.

Namun, pengusaha premis perjudian berkenaan pula semakin rakus mengaut keuntungan apabila kegiatan mereka berjaya menarik minat ramai pelanggan berpendapatan rendah, golongan belia, pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Ahli Jawatankuasa Gerakan Belia 4B Bukit Katil, Adnan Saad ketika mendedahkan permasalahan itu mendakwa, lebih daripada 100 premis menjalankan kegiatan perjudian berkomputer secara terbuka dan beroperasi tanpa lesen di beberapa daerah di negeri ini.

Menurutnya, kebanyakan premis berkenaan beroperasi di sekitar Alor Gajah, Masjid Tanah, Merlimau, Jasin, Melaka Tengah dan Ayer Keroh.

“Orang ramai kecewa dengan sikap tidak endah pihak berkuasa yang dilihat tidak serius mengambil tindakan terhadap kewujudan semakin banyak pusat judi berkomputer di negeri ini.

“Kami diberitahu, setiap kali serbuan hendak dilakukan melalui kerjasama pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ia sering kali gagal.

“Apabila serbuan dibuat, premis berkenaan tidak beroperasi. Serbuan itu gagal kerana pemiliknya seolah-olah sudah tahu mengenai operasi tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Bahagian Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merampas 35 unit komputer yang menjalankan kegiatan judi haram manakala Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula menyita 37 unit.

Adnan turut mendakwa ada premis berkenaan yang beroperasi berdekatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang dan berhampiran Balai Polis Simpang Ampat di Alor Gajah.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan pihak berkuasa yang langsung tidak ambil peduli terhadap maklumat yang diberikan kepada mereka mengenai premis yang menjalankan kegiatan tersebut.

“Saya pernah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai sebuah pusat siber menjalankan kegiatan judi berkomputer di Melaka Tengah tetapi malangnya mereka tidak datang bertindak atau menahan pemiliknya,” ujarnya.

Justeru, katanya, beliau bersama 60 ahli Gerakan Belia 4B termasuk orang ramai terpaksa mengambil tindakan sendiri apabila berjumpa dengan pemilik premis berkenaan dan meminta mereka menutup operasi premis tersebut.

Adnan menambah, sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan wajar membanteras premis berkenaan, ahli Gerakan Belia 4B seluruh negeri melibatkan 6,000 orang akan membuat demonstrasi aman.


Lidah Rasmi UMNO

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails