Wednesday, September 14, 2011

Mat Sabu fail saman hari ini

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Senator Ezam Mohd Nor menyertai pemimpin-pemimpin Umno menggesa agar Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dikenakan tindakan tegas - kali ini digesa agar diusir keluar dan dilucutkan kerakyatan ekoran kenyataan berkenaan tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang turut dikenali sebagai Mat Sabu (gambar) akan memfailkan kes saman ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.


Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan Mohamad akan memfailkan kes saman beliau.

Sebelum ini kerajaan berkata Mohamad tidak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebab tindakannya tidak mengancam keselamatan negara.

“Saya dimaklumkan beliau (Mohamad) akan memfailkan kes hari ini, setakat ini satu pihak sahaja... Utusan, beliau akan mengadakan sidang media selepas itu,” kata beliau lagi.

Penghujung minggu lalu, Mohamad berkata akan memfailkan saman ke atas Utusan Malaysia berhubung satu berita berkenaan ceramahnya yang menyentuh tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Tempoh 24 jam yang diberikan oleh Mohamad kepada akhbar milik Umno itu agar memohon maaf berakhir Jumaat lalu.

“Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekali gus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal,” kata beliau Sabtu lalu.

Katanya, masa telah diberikan kepada Utusan Malaysia selama 24 jam untuk menarik balik siaran muka depan ‘Mat Sabu hina pejuang’ sudah berakhir dan saman akan bermula 12 September.

Serangan bertubi-tubi ke atas Mohamad masuk minggu ketiga sekarang.

Dalam kenyataannya, Ezam, bekas ketua sayap muda PKR mendakwa tiada tempat bagi orang yang menghina pengasas negara di mana-mana negara bertamadun.

“(Mohamad) Mat Sabu jelas melanggar garisan bagi seorang rakyat yang beradab dan bertamadun apabila menghina (Bapa Kemerdekaan) Tunku Abdul Rahman... tidak ada negara bertamadun akan kompromi dengan kebiadapan dan sifat tidak bertamadun ini.

“Rakyat Malaysia mesti diajar hidup secara bermaruah dan bertamadun. Justeru Mat Sabu mesti dihukum dan diusir keluar dari negara ini. Banyak negara komunis lain boleh jadi pilihannya,” katanya lagi.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Mohamad berhubung kenyataannya mendakwa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Beliau berkata kes Mohamad banyak berkisar kepada undang-undang dan oleh itu hanya Peguam Negara yang dapat menentukan bentuk tindakan terhadap beliau.

Hishammuddin bagaimanapun berkata kenyataan Mohamad tidak mengancam keselamatan negara dan oleh itu bukan satu opsyen untuk menyiasat beliau di bawah ISA.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails