Saturday, September 17, 2011

Mansuhkan ISA idea Najib bukan dicuri dari Buku Jingga?

Seperti biasa..

Sebagaimana mereka menafikan bahawa idea 1Malaysia itu diciplak dari 1Israel, mereka juga menafikan bahawa hapuskan ISA itu sebagai inisiatif mereka sendiri iaitu idea Najib yang kononnya bijaksana, bukannya mencuri idea Buku Jingga Pakatan Rakyat atau disebabkan desakan Pakatan Rakyat.

Hari ini Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) mempertahankan pengumuman Datuk Seri Najib Razak mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai inisiatif mereka sendiri, bukannya mencuri idea Buku Jingga Pakatan Rakyat atau disebabkan desakan pembangkang.


Paling menarik komen Hishamuddin, katanya “Bila buku Jingga itu keluar? Perdana Menteri sudah umum kajian ISA secara holistik dua tahun lalu, kita sudah pun menjalankan proses kajiannya secara bijaksana,”

Kajian secara Holistik dua tahun lalu?? korang percaya?



BN: Kami tak curi idea Buku Jingga Pakatan mansuh ISA
September 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) mempertahankan pengumuman Datuk Seri Najib Razak mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai inisiatif mereka sendiri, bukannya mencuri idea Buku Jingga Pakatan Rakyat atau disebabkan desakan pembangkang.

Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga Disember lalu dan salah satu daripada 10 inisiatif yang hendak dilaksanakan dalam 100 hari pertama jika menerajui Putrajaya ialah memansuhkan ISA.

“Bila buku Jingga itu keluar? Perdana Menteri sudah umum kajian ISA secara holistik dua tahun lalu, kita sudah pun menjalankan proses kajiannya secara bijaksana,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas merasmikan Majlis Penerangan Perdana di Seremban hari ini.

Hishammuddin mengulas mengenai dakwaan pakatan pembangkang bahawa BN mencuri idea mereka menerusi Buku Jingga.

Awal tahun ini, pemimpin-pemimpin BN dan Umno mengkritik kandungan Buku Jingga mustahil untuk dilaksanakan.

Buku Jingga itu mengandungi janji pakatan pembangkang yang akan dilaksana dalam masa 100 hari jika mereka mentadbir negara.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, kajian mengenai ISA diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009, iaitu lebih setahun sebelum Buku Jingga dilancarkan.

Dakwaan itu jelas menunjukkan pakatan DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS sudah ketandusan idea, kata Hishammuddin dipetik Bernama Online.

Semalam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dari DAP mendakwa pemansuhan ISA itu hasil perjuangan pakatan pembangkang.

Kelmarin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberitahu The Malaysian Insider bahawa ia hasil kejayaan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diadakan Ogos 2009.

Pemansuhan ISA diumumkan oleh Perdana Menteri semasa menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia kelmarin.

Hishammuddin turut mengakui wujud kebimbangan pada kalangan rakyat mengenai keselamatan negara yang selama ini dijamin di bawah ISA.

“Perpaduan dan keamanan yang wujud pada hari ini masih lagi terjamin dan akan terus berkekalan di bawah dua akta baru yang akan diumumkan nanti,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai dua akta berkenaan, selain menafikan undang-undang baru berkenaan akan menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri yang diguna pakai Singapura.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak tertentu dan orang ramai supaya tidak berprasangka buruk terhadap keputusan kerajaan untuk memansuhkan ISA.

Muhyiddin berkata pengumuman Najib berkenaan perkara itu sebenarnya mengejutkan banyak pihak terutama pembangkang yang tidak percaya kerajaan akan berbuat demikian.

Muhyiddin, yang menyifatkan pengumuman Perdana Menteri itu sebagai satu tindakan berani berkata, keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya dilakukan selepas kajian dan penelitian yang mendalam.

“Ini membuktikan keberanian pimpinan Perdana Menteri. Ia bukan kerana desakan mana-mana pihak walaupun ia telah dibangkitkan sekian lama. Ia harus disambut baik oleh rakyat tidak kira kaum dan keturunan,” katanya di Nibong Tebal.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails