Friday, September 16, 2011

Jangan seronok sangat.... - Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Pakar Perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari menegaskan terlalu awal untuk meraikan inisiatif yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak malam tadi memandangkan langkah-langkah disenaraikan Putrajaya sebenarnya tidak menyeluruh.

Kata beliau, banyak lagi undang-undang yang diharapkan pemansuhan ataupun sekurang-kurangnya dipinda tidak disebutkan langsung dalam perutusan yang disampaikan secara langsung kepada rakyat.


“Najib tidak kata apa-apa tentang pembaharuan pilihan raya, membisu mengenai kontroversi membabitkan (daftar pemilih SPR dan) Jabatan Pendaftaran Negara.

“Beliau juga tidak berkata apa-apa tentang akses kepada RTM, saluran (TV dan radio) pembayar cukai. Mengambil kira kesemua ini, apa yang disaksikan (semalam) hanya satu bentuk pengumuman... oleh itu pilihan yang ada hanyalah (kita kena) tunggu dan lihat... terlalu awal untuk kita meraikan,” kata beliau.

Kata Aziz , sementara langkah mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan membatalkan tiga deklarasi darurat satu perkara yang baik tetapi tuntutan berkenaan perkara itu telah lama diketengahkan oleh Pakatan Rakyat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

“Jadi, Najib dan Umno-BN, sebagaimana ketika (menuntut) kemerdekaan pada 1957, mereka tidak boleh mengambil kredit (atas perkembangan ini),” kata ahli akademik ini.

Justeru jelas Aziz, perkembangan semasa ini juga menunjukkan pentadbiran Najib kelihatan bertindak kepada tuntutan dan permintaan pihak lain berbanding mengusahakan sendiri pendekatan-pendekatan yang diumumkan semalam, demi kepentingan rakyat.

“Oleh itu sedangkan beliau memegang jawatan (perdana menteri) tetapi tidak kelihatan berada dalam kuasa (sebenar),” kata Aziz lagi.

Sehubungan itu Aziz juga memberitahu, Umno-BN secara tiba-tiba telah mengetepikan falsafah politik mereka sendiri.

“Hanya semalam (kelmarin) (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri) Hishammuddin Hussein datang dengan kenyataan menafikan (laporan media bahawa) ISA akan dimansuhkan,” kata Aziz lagi.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Mengambil kira perkembangan terbaru ini, Aziz berkata, kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat salah guna kuasa di bawah ISA dan deklarasi-deklarasi darurat sejak lima dekad lalu.

“Dalam sistem demokrasi, kerajaan sewajarnya bertanggungjawab atas tindakan dan keputusan-keputusan yang diambilnya,” kata beliau.

Aziz juga berkata, sementara pengumuman Najib malam tadi kelihatan baik bagi masyarakat, kerajaan juga perlu mengkaji undang-undang lain seperti Akta Pertubuhan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti serta Seksyen 27 Akta Polis.

“Cadangan mengenai Seksyen 27 telah diketengahkan oleh suruhanjaya diraja yang diketuai oleh bekas ketua hakim negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada 2005,” kata beliau sambil menambah, laporan suruhanjaya itu mendapati pihak pois telah salah guna kuasa untuk menafikan hak untuk berhimpun secara aman.

“Suruhanjaya juga mengetengahkan pembentukan dan operasi Cawangan Khas yang tidak telus dan tidak ada elemen akauntailiti,” kata beliau.

“Dan, bagaimana pula dengan Akta Rahsia Rasmi 1971 yang digunakan selama ini? Undang-undang ini menjadi halangan kepada ketelusan dan akauntabliti dalam masyarakat,” kata Aziz.

Selain itu Aziz bertanya, adakah Perdana Menteri ada mengatakan apa-apa tentang Akta Hasutan 1948 yang menyebabkan rakyat berhadapan dengan ancaman perundangan.

“Sebenarnya, ahli-ahli Parlimen yang merupakan anggota dewan perundangan boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini. Keistimewaan Parlimen juga tidak boleh membantu mereka,” kata beliau.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails