Sunday, August 21, 2011

UMNO sudah mula retak?

Pendirian terbaru pentadbiran Najib berhubung jawatankuasa pilihan khas mengenai pilihan raya semakin jelas wujudnya keretakan antara perdana menteri dan parti pimpinannya — Umno, dakwa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Sekali lagi, menurut mereka, perkembangan semasa menunjukkan ada bangkangan ke atas inisiatif Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno - kali ini membabitkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen.


Perkembangan terbaru dalam Barisan Nasional (BN) yang memerintah telah mencetuskan kebimbangan, malah pesaingnya Pakatan Rakyat, yang percaya lebih banyak pembaharuan akan mengalami kelewatan memandangkan Najib cuba mendapatkan sokongan ketika beliau sedang berusaha mengatasi bangkangan dalam pentadbirannya sendiri.

Dalam hal ini, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu percaya tindakan Najib yang dilihat berundur ke belakang daripada inisiatifnya menunjukkan beliau sedang “membeli masa” agar perdana menteri keenam ini boleh mendapatkan sokongan kakitangan kerajaan dan pengundi atas pagar menjelang pilihan raya umum.

“Saya tidak fikir Najib dan BN serius untuk membawa pembaharuan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider selepas melancarkan kempen antiharga barang naik, menggunakan nama Protes BN, di ibu negara semalam.

“Mereka hanya membuka injap untuk melepaskan tekanan tetapi tidak serius mengadakan pilihan raya bebas dan adil. Ya, mereka cuba beli masa,” kata beliau merujuk kepada kesan perhimpunan Bersih di ibu negara pada 9 Julai lalu, yang diadakan untuk menuntut pembaharuan pilihan raya.

Petang kelmarin, Najib berrkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Jawatankuasa sembilan anggota itu akan dibentuk Oktober ini.

Bagaimanapun kata perdana menteri, oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran Parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan diadakan terlebih dahulu.

“Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, tiada apa-apa kaitan dengan jawatankuasa pilihan khas Parlimen. Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Najib mengumumkan inisiatif ini Isnin lalu.

Mohamad menambah, beberapa kumpulan dalam Umno tidak berpuas hati dengan pembaharuan Najib dan cuba mewujudkan kebangkitan ke atas kepimpinan beliau dan perikatan dipimpinnya.

Beliau menamakan pertubuhan bukan kerajaan seperti Penawar dan Amanah Merdeka yang diketuai oleh veteran-veteran Umno.

Oleh itu kata Mohamad, Najib cuba mendapatkan sokongan daripada tempat-tempat lain.

“Saya tidak fikir beliau cuba menyatukan sokongan veteran Umno tetapi membeli masa pegawai-pegawai kerajaan dan menjawab Buku Jingga (dikeluarkan Pakatan Rakyat),” kata beliau.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkongsi pendirian yang sama sambil berkata, pendirian ‘flip-flop’ Najib adalah satu helah politik untuk mengelirukan rakyat dan mengharapkan rakyat akan lupa.

“Ia kelihatan begitu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini memberitahu, Najib kemungkinan cuba untuk mengadakan inisiatif baru susulan perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu tetapi gagal ekoran tentangan daripada Umno sendiri.

“Beliau tidak boleh keluar daripada bangkangan, kritikan jelas daripada pihak berpendirian keras seperti Muhyiddin,” kata Lim merujuk kepada timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selasa lalu, Muhyiddin berkata sistem pilihan raya semasa adalah adil dan telus, dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan.

“Mereka tidak boleh gembira dengan idea itu apabila mereka selama ini mempertahankan bahawa tidak ada apa-apa kekurangan dalam sistem semasa,” kata Lim.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Najib cuba untuk melewatkan pelaksanaan pembaharuan pilihan raya.

Adun Seri Setia dari Selangor ini berkata, tidak munasabah bagi Najib untuk sering berubah pendirian.

“... mengatakan sesuatu hari ini dan kemudian mengubah pendirian dengan begitu cepat,” kata beliau.

“Mengadakan jawatankuasa pilihan khas bermakna anda menerima adanya kepincangan dalam sistem.

“Tetapi kemudian anda mengatakan tidak perlu menunggu sehingga keputusan (laporan jawatankuasa pilihan khas), kita boleh mengadakan pilihan raya, ini tidak masuk akal. Masih ada masa sehingga akhir mandat (semasa),” kata beliau.

Mandat semasa hanya akan berakhir pada suku kedua 2013.

Nik Nazmi berkata, motif sebenar Najib dalam mengubah pendirianya hanya boleh dispekulasi, tetapi nampaknya sementara Perdana Menteri itu cuba untuk bergerak ke depan daripada episod Bersih 2.0, beliau ditarik oleh pihak lain.

“Perdana Menteri boleh kata satu dan No 2 pula boleh kata lain,” kata beliau dengan merujuk kepada gandingan Najib dan Muhyiddin.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails