Monday, August 15, 2011

Tuduhan Liwat : Anwar beri keterangan 22 Ogos ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan pada perbicaraan kes liwat yang dihadapinya pada 22 Ogos ini.

Keputusan yang disahkan oleh peguambelanya dan juga pihak pendakwaan itu tidak akan mengambil kira sama ada mereka berjaya menemubual enam lagi saksi lain termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.


Sankara Nair sebelum itu, memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan telah berjaya menemubual 19 saksi potensi dan masih ada enam lagi yang belum dikemukakan.

Menurut Peguam Cara Negara II, kedua-dua pihak telah bersetuju Anwar akan mula membela dirinya pada Isnin depan.

"Kami akan cuba bekalkan saksi itu dalam minggu ini.”

Hari ini, pihak pembelaan akan menemubual ibu kepada bekas tunang pengadu kes ini - Mohd Saiful Bukhari Azlan - iaitu Sharehah Md Salim.

Musa sedang berada di luar negara dan dijangka akan kembali minggu depan.

Minggu lalu, peguam pembelaan yang diketuai oleh Karpal Singh telah menemubual 19 saksi potensi yang mungkin diminta tampil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Mereka yang dipanggil itu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang hadir pada Jumaat lalu. Bagaimanapun kedua-dua Najib dan Rosmah enggan ditemubual dan berkata mereka tidak mahu menjadi saksi pembela kepada Anwar.

Saksi yang belum ditemubual termasuk Musa, dua bekas pembantu rumah Indonesia - Suliati dan Faria Dipan - yang sebelum ini bertugas dengan pemilik kondominium Hasanuddin Abdul Hamid dan jururawat Hospital Pusrawi Yazihan Jusoh, serta pengawal peribadi Anwar - Mohd Rasid Mohd Rosdi.

Pembantu rumah berkenaan telah pulang ke Indonesia dan polis dijangka memaklumkan perkembangan mereka mengesan kedua-dua wanita itu.

Pada 16 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah bercakap benar dan seorang saksi berwibawa.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails