Tuesday, August 9, 2011

PR sebagai Pengundi : JPN, SPR dan UMNO/BN bersekongkol

Dr Syed Azman Syed Ahmad

Banyak yang di perkatakan oleh pelbagai pihak apabila berlakunya pendedahan isu yang cukup membimbangkan sebahagian besar rakyat di negara ini serta mengancam keselamatan negara iaitu isu MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Paling terkini beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) telah mendesak diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan isu penduduk tetap (PR) yang memegang MyPR merah didaftar sebagai pemilih baru yang didakwa dilakukan secara terdesak oleh pimpinan tertinggi negara dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

Bagi saya, pendedahan persekongkolan terhormat JPN, SPR dan kerajaan Umno/BN bukanlah suatu yang 'mengejutkan' kerana ianya 'isu lama' telah sejak sekian lama wujud di negara kita. Pendedahan penipuan serta manipulasi pilihan raya inilah yang menjadikan demokrasi di negara kita berjalan dalam keadaan yang penuh kepincangan dan tempang.

Fakta persekongkolan

Saya teringat satu fakta persekongkolan terhormat JPN, SPR dan kerajaan Umno/BN ini apabila berlakunya pendaftaran beratus-ratus pekerja kilang dari Pekan, Pahang bagi mendaftar undi di kawasan parlimen Marang Terengganu.

Konspirasi yang digelar 'Projek Isuzu' ini dilakukan pada pilihan raya umum 1995 adalah bagi menumbangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kawasan parlimen Marang.

Begitu juga dengan pertambahan pengundi yang mendadak serta peratus keluar mengundi yang 'amat luarbiasa' di seluruh negeri Terengganu pada pilihan raya umum ke-11 yang lalu sehinggakan ada kawasan yang melebihi 90 peratus keluar mengundi.

Keputusan amat luarbiasa ini menjadi 'konspirasi misteri' sehingga sekarang sehingga ia berjaya menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu.

Yang terbaru adalah pendedahan mengenai 'Projek IC Sabah' yang merupakan projek rahsia dan tersusun yang membabitkan beberapa parti politik termasuk agensi kerajaan seperti JPN. SPR dan Jabatan Imigresen.

Aktivis hak asasi dan masyarakat dari Sabah, Dr Chong Eng Leong mendedahkan bahawa sehingga 2005, seramai 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di Sabah. Beliau mendedahkan tentang Projek IC ini adalah bagi membawa pendatang tanpa izin dan di berikan IC serta mendaftar nama mereka dalam daftar pemilih yang di sediakan oleh SPR bagi melayakkan mereka menjadi pengundi yang 'sah'.

Projek IC Sabah yang dilaksanakan ini dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Megat Junid Megat Ayub, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ahmad Sarji, Pengarah JPN Sabah, Sani Adnan serta beberapa pimpinan tertinggi dan di lakukan ketika Malaysia di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1980 an dan 1990an.

Siasatan Awam

Persoalannya, siapakah yang harus bertanggungjawab dalam konspirasi besar ini? Dan apakah akan ada usaha dari pihak kerajaan bagi menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Awam bagi menyiasat isu ini?

Namun bagi saya, isu pokok yang harus di lihat oleh semua pihak adalah peranan SPR itu sendiri. Apabila isu kredebiliti SPR menjalankan tugas mereka secara adil bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil menjadi pertikaian, maka demokrasi di negara kita akan terus menjadi tempang.

Ini ditambah lagi dengan 'hilang keyakinan' rakyat awam terhadap peranan SPR sendiri. Penjelasan serta jawaban yang di berikan oleh SPR mengenai isu MyKad serta serta pelbagai isu yang menjadi pertikaian dilihat amat tidak meyakinkan dan berat sebelah.

Lebih parah lagi SPR kini hanya dilihat menjalankan tugas mereka 'berkhidmat untuk Umno/BN' bagi menjamin kelangsungan kuasa di Putrajaya.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa menurut Perlembagaan Negara 114(2) menghendaki SPR mestilah mendapat 'kepercayaan awam'. Namun dengan perkembangan terbaru ini, 'kepercayaan awam' terhadap SPR telah terhakis sama sekali dengan perananya yang dilihat gagal menjalankan tugas sebagai sebuah badan bebas dan adil bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan telus.

Bagi saya, untuk menjamin masa depan demokrasi dan pilihan raya di negara kita, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR wajar berundur segera dan izinkan Kebawah Duli Yang Di-Pertuan Agong membentuk serta melantik kepimpinan SPR baru yang telus dan BERSIH.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails