Tuesday, August 2, 2011

PANAS!! Utusan dedah Pekung UMNO Kedah.

BARU-baru ini dalam satu pertemuan, seorang pemimpin veteran UMNO memberitahu penulis bahawa Kedah merupakan salah sebuah negeri yang Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampasnya kembali daripada pembangkang.

Pelbagai kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pas kini memungkinkan BN mempunyai harapan untuk meraih kembali sokongan rakyat di negeri Jelapang padi tersebut.


Namun begitu persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak termasuk pemimpin veteran tersebut ialah sejauh manakah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Kedah benar-benar bersedia untuk melunaskan misi berkenaan.

Semua orang Kedah tahu, Pas yang dibantu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidaklah sehebat mana di negeri berkenaan.

Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kedah, pada Khamis lalu dikatakan banyak menyuntik semangat dan memberikan isyarat kepada rakyat Kedah bahawa mereka perlu menyokong BN.

Keprihatinan Perdana Menteri yang bersedia meluangkan masa melakukan tinjauan mesra dan meluluskan peruntukan sebagai RM1.12 juta bagi membina sebuah masjid di Taman Wira Mergong, di Alor Setar turut membantu meningkatkan imej BN.

Tetapi soalnya, sejauh manakah UMNO dan BN Kedah di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Bashah Md.Hanipah mampu merebut peluang untuk memastikan sokongan rakyat kembali kepada parti berkenaan.

Ketika berbual-bual dengan seorang pemimpin UMNO Kedah di Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis mendapati terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Ahmad Bashah dan pemimpin parti berkenaan jika mereka mahu menegakkan kembali panji-panji BN di negeri itu.

Perkara yang paling ketara ialah sehingga kini biar pun Kedah sudah jatuh ke tangan pembangkang masih belum ada kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO untuk berhenti berpolitik sesama mereka.

Sama ada hendak diakui atau tidak berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, daripada keseluruhan 15 bahagian UMNO di Kedah, 10 daripadanya bermasalah. Ia berpunca daripada politiking sesama sendiri - satu 'penyakit' yang tidak pernah mampu diubati dalam UMNO sejak dulu lagi.

Mungkin akan ada pemimpin UMNO akan menganggap tulisan ini ibarat membuka pekung di dada atau satu rekaan tetapi hakikat tetap hakikat, fakta tetap fakta.

Pemimpin-pemimpin UMNO Kedah perlu insaf bahawa mereka bukan pemerintah di negeri berkenaan tetapi pembangkang, oleh itu sikap dan tindakan serta semangat perlu berteraskan kepada keazaman untuk merampas kembali negeri itu daripada Pas, PKR dan DAP.

''Masalah utama ialah hendak mencari calon, kita kena akui sampai sekarang belum ada calon yang paling sesuai bagi memenuhi apa yang dipanggil 'calon boleh menang' seperti mana dikehendaki oleh Perdana Menteri,'' kata pemimpin UMNO tersebut.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila masalah dalaman di 10 bahagian berkenaan masih juga tidak selesai-selesai, biar pun UMNO sudah jadi pembangkang di Kedah.

Masing-masing masih lagi hendak 'mempromosikan' diri sendiri dan merasakan paling layak untuk menjadi calon, biarpun ada antara mereka yang ditafsirkan, ''umum nama sahaja pun dah kalah.''

Kesudahannya di sesetengah bahagian yang bermasalah ini wujud sekurang-kurangnya enam 'war lord' yang mempunyai pengikut masing-masing iaitu ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua, ketua Wanita, ketua Pemuda dan ketua Puteri.

Justeru jika salah seorang dipilih sebagai calon belum tentu yang lain akan menyokong sebaliknya akan wujudnya apa yang orang Kedah panggil 'das kaki' atau orang Kelantan kata 'cah keting'.

Walaupun perbalahan ini tidaklah begitu ketara 'di permukaan' tetapi rakyat di kawasan-kawasan terlibat amat memahami kemelut yang berlaku justeru semua itu hanya merugikan UMNO dan BN.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada dakwaan bahawa Ahmad Bashah sebagai pengerusi perhubungan UMNO negeri tidak mempunyai cengkaman bagi mengatasi kemelut yang berlaku. Malahan Ahmad Bashah juga dikatakan terlalu bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk melaksanakan sesuatu program.

Ahmad Bashah dan seluruh kepimpinan Kedah perlu menunjukkan kesungguhan untuk merampas negeri itu daripada Pas.

Setakat ini kita memuji kelantangan UMNO Kedah mendedahkan kepincangan pentadbiran Kerajaan Pas tetapi ia belum mencukupi bagi menjana kemenangan, jika di dalam UMNO sendiri masih ada kelemahan yang tidak diperbaiki.

Kita yakin sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam berpolitik, Ahmad Bashah mampu mengendalikan keadaan, apa yang diperlukan daripada beliau ialah keberanian membuat keputusan dan bertindak.

Jika benar pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Kedah mahu menang dalam pilihan raya mereka perlu bersatu padu dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Tindakan bertelingkah dalam mesyuarat bahagian adalah sesuatu perbuatan yang memalukan kerana UMNO bukannya pemerintah tetapi pembangkang.

Kalau berada dalam kedudukan pembangkang pun masih belum mahu insaf lagi, apakah pemimpin UMNO Kedah hanya akan sedar apabila parti itu terus ditolak selama-lamanya di negeri berkenaan?

Oleh itu adalah wajar jika pemimpin-pemimpin UMNO Kedah memahami cabaran besar yang ada di hadapan mereka, bersatulah dalam satu barisan dan perkukuhkanlah kedudukan.

Banyakkan program-program untuk memenangi hati rakyat seperti mana diusahakan oleh Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Janganlah pemimpin UMNO Kedah hanya bijak mengatur strategi untuk menjatuhkan lawan politik daripada parti sendiri tetapi beku mindanya dalam menumbangkan pembangkang.

Satu fakta yang harus difahami ialah pembangkang tidaklah sekuat mana di Kedah dan senario 2008 tidak lagi menghantui BN sehingga memungkinkan rakyat akan terus menolak parti itu.

Justeru inilah kesempatan terbaik kepada UMNO Kedah untuk bangkit semula dan ia hanya akan tercapai jika pemimpin-pemimpin parti itu bak kata salah seorang daripada mereka menyingkirkan tindakan'marahkan dua ekor nyamuk, satu kelambu dibakar'.

Apakah maksud tindakan berkenaan? Terserahlah kepada pemimpin-pemimpin UMNO di Kedah memikirkannya, apa yang pasti selagi mereka tidak meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya, bukan kata 'kelambu', bilik tidur pun boleh hangus bersama-sama akibat 'panas bahang' politiking sesama sendiri.


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails