Wednesday, August 10, 2011

Najib, Rosmah tetap perlu hadir ke mahkamah – Karpal

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tetap perlu hadir ke mahkamah untuk ditemubual peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mahkamah bersidang 15 Ogos depan.

“Kedua-dua mereka tetap perlu hadir. Pada bila-bila masa mereka bersedia untuk ditemubual, kita akan temubual mereka,” kata peguam Anwar, Karpal Singh ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pihak pendakwa bagi membolehkan Anwar hadir semasa temubual dengan saksi yang dipanggil pembela.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan Anwar dibenarkan hadir sewaktu temubual saksi tersebut dijalankan.

Sehubungan itu, menurut Karpal, peguam akan menemubual 10 saksi hari ini di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Namun, nama Najib dan Rosmah tidak ada dalam senarai pihaknya hari ini.

Semalam adalah hari pertama temubual saksi berlangsung dengan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rohwan Yusof dipanggil untuk ditemubual.

Pendakwa raya kemudian menangguhkan temubual itu dengan alasan Anwar turut sama hadir sewaktu temubual berlangsung.

“(Hari ini) Hakim mengarahkan beliau (Anwar) boleh hadir, dan beliau akan berada di sana.

“Dalam kes ini beliau adalah orang yang dituduh dan beliau ada hak untuk berbuat demikian,” kata Karpal.

Karpal seterusnya menegaskan sekali lagi kerenah Pendakwa Raya melengah-lengahkan sesi temubual ini adalah bukti jelas bahawa Pendakwa Raya sebenarnya yang melambat-lambatkan perbicaraan.

Malah, penentuan samada perbicaraan akan berlangsung seperti dijadualkan minggu depan juga bergantung kepada samada pendakwa raya mampu membawa saksi-saksi yang diminta peguam bela ke mahkamah untuk ditemubual, kata Karpal.

“Pendakwa raya melambat-lambatkan perbicaraan, bukan kami. Kami hanya boleh sambung perbicaraan hanya apabila semua saksi selsesai ditemubual oleh kami.

“Saya ingin jelaskan kami tidak melambat-lambatkan perbicaraan.(Malahan), kami mahu sambung perbicaraan terus pada hari Isnin.

“Dan sekarang saya sendiri tidak faham kenapa mereka membantah kehadiran Datuk Seri Anwar semalam,” kata Karpal.


http://www.keadilandaily.com/?p=18558

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails