Saturday, August 20, 2011

Lima Polis Didakwa Rompak Warga Bangladesh

KUALA LUMPUR 19 OGOS : Lima anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 16 dakwaan merompak secara berkumpulan terhadap 16 warga Bangladesh sejumlah wang tunai RM34,516, pada 8 Ogos lalu.

Mohd Afizi Mohd Nasir, 27, Muhammad Hairey Muhammad Puzi, 21, Azrin Adha Abdullah, 25, Mohd Faiz Muhammad, 25, dan Mohammad Firdaus Jamaludin, 20, didakwa melakukan rompakan ke atas kesemua mangsa yang berumur antara 20 dan 40 tahun di sebuah rumah No 52, Jalan Nagasari, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 12.01 pagi.


Kelima-lima anggota polis terbabit bertugas di Bahagian Tugas Am dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi didakwa merompak wang tunai dan 19 telefon bimbit pekerja-pekerja buruh binaan itu.

Pertuduhan ke atas kesemua mereka dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurmardiana Mamat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun peguam Mohamad Arfizi Mohd Ramli yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan semua mereka merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Saya juga merayu di bulan Ramadan yang mulia ini supaya semua mereka diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma bersama keluarga masing-masing," katanya dipetik Bernama Online.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan semua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Sept ini untuk sebutan.

Semua tertuduh membayar wang jaminan itu.


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails