Thursday, August 25, 2011

Kes Liwat : Makmal DNA Jabatan Kimia tiada kelayakan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Makmal DNA Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya hari ini didapati tidak mempunyai akreditasi antarabangsa sewaktu menganalisa sampel kes Fitnah II.

Ia sekaligus menambahkan keraguan yang sedia ada terhadap laporan dari Jabatan Kimia yang digunakan pendakwa raya dalam pendakwaan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu didedahkan konsultan molekular genetik dari Australia, Dr Brian McDonalds sewaktu memberi keterangan dari kandang saksi.


Menurutnya, mana-mana makmal yang menjalankan ujikaji ke atas DNA akan diakreditasi dengan sijil ISO17025 yang diperakui di peringkat antarabangsa.

Pensijilan ISO17025 itu pula dikeluarkan oleh American Society of Crime Laboratories Directors (ASCLD).

Walau bagaimanapun, kata Dr McDonalds, pemeriksaan beliau dengan ASCLD mendapati Jabatan Kimia Malaysia pernah memohon sijil itu dari ASCLD pada Oktober 2005 kerana sijil akreditasi dahulu telah tamat.

Makmal Jabatan Kimia kemudian diberikan masa lima tahun untuk memenuhi piawaian yang perlu dipenuhi untuk mendapat akreditasi tersebut.

Namun, selepas lima tahun, Jabatan Kimia masih gagal memperolehi sijil itu dan mereka diberikan tempoh lanjutan sebanyak dua kali yang akan berakhir bulan Oktober ini.

Peguam Anwar, Sankara Nair sewaktu masa rehat mahkamah memberitahu wartawan bahawa pendedahan ini berlawanan dengan pengakuan ahli kimia, Dr Seah Lay Hong yang mengaku makmal DNA Jabatan Kimia mempunyai akreditasi antarabangsa.

“Sekarang kita periksa, makmal ini tidak pernah mempunyai ISO17025. Sedangkan, masa kita soal balas dahulu, beliau mengaku ada,” kata Sankara Nair.

“Jadi, adakah ujian yang dijalankan menepati piawaian antarabangsa. Tentunya tidak,” kata Sankara.

Sebelum ini, mahkamah turut digemparkan bagaimana sampel DNA Anwar diambil secara tipu helah dari tubuh beliau sewaktu direman selama satu hari di Bukit Aman.

Polis pada waktu itu sengaja menahan Anwar untuk mendapatkan sampel rambut, DNA beliau dari botol minuman, berus gigi dan juga tuala muka.

Tidak cukup dengan itu, calitan dari tubuh pengadu, Saiful Bukhari juga tidak dikendalikan mengikut prosedur standard operasi (SOP) apabila pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira menyimpan sampel calitan itu di pejabatnya selama dua hari pada suhu bilik sebelum menyerahkannya ke Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau juga didapati membuka botol sampel dan menandakannya semula sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisa.


http://www.keadilandaily.com/?p=19528

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails