Wednesday, August 3, 2011

Hishamuddin telah luluskan sebanyak 29,290 permohonan PR

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menjelaskan dakwaan seorang penduduk tetap (PR) yang memegang kad MyPR merah tetapi didaftarkan sebagai pengundi baru, dan kemudiannya diberikan taraf kewarganegaraan dalam tempoh empat jam, sebenarnya tidak benar.

Ketua pengarahnya, Datin Jariah Mohd Said berkata rekod JPN menunjukkan dalam kes Mismah, individu itu sebenarnya telah mendapat taraf penduduk tetap pada 17 Julai 1982.


“Beliau telah diluluskan taraf kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari 2011 di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan selepas 29 tahun memegang taraf penduduk tetap Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, semasa semakan Malaysiakini pada sistem pengesahan dalam talian JPN sebanyak dua kali menunjukkan nama Mismah adalah berstatus PR yang telah mengambil kad MyPRnya (No 640704715238).

Apabila nombor yang sama dimasukkan ke dalam sistem pengesahan dalam talian SPR, Mismah yang sama adalah pengundi berdaftar yang baru.

Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang semalam menunjukkan Mismah telah menjadi warganegara dengan Mykad biru.

Jariah dalam kenyataan medianya juga berkata sepanjang tempoh 9 April 2009 hingga 15 Julai 2011, kementeriannya telah menerima 72,334 permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia.

Daripada jumlah itu, katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah meluluskan sebanyak 29,290 permohonan.

Jariah juga menghuraikan pertimbangan permohonan taraf warganegara tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan berdasarkan perkara-perkara berikut:

-Perkara 15 : Isteri kepada Warganegara

-Perkara 16: Mereka yang lahir di Malaysia sebelum tarikh kemerdekaan (sebelum 31 Ogos 1957)

-Perkara 19: Warga Asing yang telah bermastautin tetap di Malaysia tidak kurang dari 12 tahun.

PAS hari ini mempertikaikan pendaftaran 1,597 pengundi dalam draf daftar pemilih tambahan bagi pemilih berdaftar sehingga akhir bulan Jun, yang disenaraikan di lamanweb JPN sebagai penduduk tetap.

Ini termasuk Mismah, yang statusnya telah ditukar dari penduduk tetap kepada warganegara di JPN semalam, dalam tempoh beberapa jam selepas Malaysiakini melaporkan mengenainya.

Dalam reaksinya, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata ini disebabkan oleh "kecuaian teknikal" di mana sistem sistem JPN tidak dikemaskini.

Sistem akses awam di lamanwebnya, jelas beliau, adalah berasingan dari sistem sambungan secara automatik antara SPR dan JPN.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails