Sunday, August 7, 2011

Hasan Ali akan kekal Exco - TG Haji Hadi

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Ekoran kontroversi membabitkan serbuan ke atas sebuah gereja Rabu lalu, PAS menegaskan parti Islam itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan beliau akan kekal di jawatan itu.

Hasan merupakan pengerusi yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam.

Selain itu tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah “masalah negeri.”


“Ia masalah negeri, kita juga sebahagian daripada negeri, kita tidak terima teori kemungkinan (masalah dengan Hasan)... kemungkian dah banyak, ada juga kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggantikan (Datuk Seri) Najib (Razak).

“Beliau (Hasan) akan terus jadi Exco, kita tidak bincang dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di sini.

Hasan juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Dalam mesyuarat itu, Hasan telah memberikan penjelasan berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu.

Pada kejadian malam Rabu itu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Namun Hasan mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan.

Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Khalid memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.

Hasan dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini berkata, beliau sanggup dipecat demi mempertahankan Islam.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails