Wednesday, August 17, 2011

Demi Agama, Bangsa dan Negara, bila hanya menguntungkan UMNO

Tindakan UMNO cuba mempolitikkan semua isu yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat (PR), terutamanya isu agama memperlihatkan betapa dangkalnya pemikiran dan sifat hipokrit mereka.

Dalam isu fatwa pembesar suara yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran sebelum waktu Subuh di negeri Pulau Pinang, UMNO kelihatan ingin mempolitikkan isu tersebut sehingga tidak boleh membezakan mana keputusan fatwa negeri, dan mana satu tindakan kerajaan negeri.


Isu bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara pada waktu pagi bukanlah isu baru, kerana ianya sudah acap kali ditimbulkan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakyat.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah keputusan mufti dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang melihat isu ini bercanggah dengan nas yang jelas, kerana tindakan memperdengarkan bacaan al-Quran, walaupun ia satu kebaikan; namun Islam juga mengambil kira soal sensitiviti orang lain yang inginkan ketenangan, ada kanak- kanak yang sedang tidur, orang yang uzur, terutamanya yang tua sakit dan sebagainya.

Tindakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan keputusan Fatwa Kerajaan Pulau Pinang merupakan satu penghinaan kepada wibawa Mufti dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah membuat kajian dan keputusan yang teliti.

Bayangkan kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, tentu ia akan menimbulkan kegilaan huru-hara para pemimpin UMNO dan saudara baiknya Perkasa dan juga mengkritik beliau.

Akan tetapi, bilamana Kerajaan Negeri Melaka memanjang tempoh hiburan sehingga jam 3 pagi, tiada suara pemimpin UMNO dan Perkasa yang tampil mengatakan Kerajaan Melaka tidak sensitif kepada umat Islam di bulan Ramadhan.

Inilah gelagat pimpinan UMNO Perkasa yang hanya nampak ada mata pada perkara yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat, sebaliknya membiarkan kemungkaran di negeri yang diperintah mereka.

Sikap sedemikian mencerminkan UMNO sebagai sebuah parti yang mengutamakan kepentingan politik berbanding tuntutan agama, sehingga sesuatu kemungkaran terang-terangan, terutamanya yang berlaku di negeri pimpinan UMNO dibiarkan tanpa sebarang kritikan dikeluarkan.

Demikian juga bilamana usul pencegahan umat Islam murtad dikemukakan dalam Parlimen oleh pimpinan Pas, mereka bukan sahaja tidak menyokong, sebaliknya usul itu berkali- kali ditolak oleh Parlimen.

Tapi kini dalam kemelut gereja-JAIS, lebih-lebih lagi apabila berlaku di negeri Pakatan Rakyat maka golongan ini, seperti skrip drama yang tidak berubah terus riuh-rendah di media kononnya ingin menyelamatkan aqidah umat Islam dari murtad.

Sekiranya ini berlaku di negeri mereka, percayalah isu ini akan menjadi senyap sunyi seperti isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu ahli UMNO sendiri dan sebagainya.

Sekiranya ada keuntungan politik, di sanalah mereka akan berkokok. Demi agama, bangsa dan negara – hanya dan bila hanya ada keuntungan politik - inilah sikap bermuka-muka pimpinan UMNO.


Ketua Penerangan Pas Pusat Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails