Sunday, August 21, 2011

Bukan kerajaan tentukan kenaikan harga barang.

TASEK GELUGOR, 21 Ogos — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kenaikan harga barangan.

“Bukan kerajaan yang tentukan kenaikan harga sebaliknya ia ditentukan oleh pasaran dunia. Setiap kali berlaku kenaikan harga kerajaan sentiasa mencari mekanisme tertentu untuk mengawalnya dan pada masa sama melindungi pengguna.

“Hal ini memang disedari oleh pihak pembangkang iaitu PAS, tetapi mereka sengaja mempolitikan isu ini,” katanya dipetik Bernama Online.


Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung kempen antikenaikan harga PAS sebagai protes terhadap kerajaan BN.

Kempen dikenali sebagai Protes BN dilancarkan semalam.

Nor Mohamed (gambar) berkata kerajaan sentiasa berusaha mengawal kenaikan harga dengan pelbagai formula dan strategi dalam usaha memastikan keharmonian hidup rakyat serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan kita sangat berpengalaman dalam menangani isu kenaikan harga, kita telah menghadapinya beberapa kali, tetapi sekiranya PAS yang menerajui pemerintahan mereka belum tentu boleh mengawal harga kerana mereka tidak berpengalaman,” katanya.

Terdahulu, Nor Mohamed melancarkan Pasar Tani Khas Pra-Syawal di Pasar Tani Mega, Tasek Gelugor dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 20 orang anak yatim, 10 ibu tunggal, 10 orang warga emas dan ahli jawatankuasa peserta Pasar Tani di kawasan itu.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails