Thursday, August 18, 2011

Bagaimana untuk kenali Pencacai UMNO - Khalid Samad

"Mereka bukan inginkan kebenaran dan tidak mengendahkannya. Mereka tidak juga ambil berat sekiranya imej Islam tercemar dengan tindakan mereka. Mereka hanya inginkan imbuhan dari tulisan mereka. Mereka tidak mengemukakan hujjah melainkan cacian demi cacaian."

Sebenarnya jika hendak kenal pencacai UMNO di Blog, Facebook dan Twitter saya mudah sangat. Di sini saya tunjukkan beberapa contoh untuk tatapan semua.

Saya kata “Islam itu adil untuk semua” maka mereka menjawab “Bertaubatlah Khalid, kamu ni penyokong Gereja”.

Saya kata “Islam hormat rumah ibadat agama lain dan ditegah mencerobohinya” mereka menjawab “Khalid Gereja ni kalau jumpa nak bagi penendang”.


Saya kata “Kita ingin semua merasa selamat dan terbela bila hidup di bawah pemerintahan Islam” mereka jawab “Kamu dah murtad sekali ya Khalid?”

Saya kata “Kaedah lain boleh digunakan untuk mendapatkan bukti, kaedah yang tidak menimbulkan fitnah terhadap Islam itu sendiri” mereka jawab “Khalid sokong ummat Islam dimurtadkan”.

Saya kata “Di harapkan JAIS mendakwa mereka yang dituduh dimahkamah secara segera supaya tidak timbul fitnah dalam masyarakat” mereka jawab “Di antara JAIS dan Gereja, Khalid percaya Gereja!”

Saya difahamkan pencacai UMNO ini mendapat elaun setiap kali komen mereka disiarkan, WalLahu 'Alam. Mereka gunakannya sebagai bukti untuk membuat tuntutan atas kerja yang mereka lakukan. Saya sebenarnya tidak keberatan untuk menyiarkannya supaya semua pengunjung boleh melihat kerenah dan perwatakan mereka secara jelas.

Mereka bukan inginkan kebenaran dan tidak mengendahkannya. Mereka tidak juga ambil berat sekiranya imej Islam tercemar dengan tindakan mereka. Mereka hanya inginkan imbuhan dari tulisan mereka. Mereka tidak mengemukakan hujjah melainkan cacian demi cacaian.

Namun saya akui, bukan semua yang tidak bersetuju dengan saya adalah pencacai UMNO. Terdapat juga sebahagian dari mereka ini yang tidak setuju di atas sebab tertentu dengan mengemukakan hujjah mereka secara ilmiah seperti persoalan ‘maslahah yang lebih besar’ menjadikan sesuatu yang haram diharuskan.

Walaubagaimanapun, ianya perlu berdasarkan pernilaian pihak yang bertindak serta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan hanya apabila tiada pilihan lain ataupun dalam keadaan darurat seperti semasa peperangan. Saya sudah menyatakan sebelum ini bahawa pilihan atau kaedah lain sememangya wujud kerana sekiranya ingin memurtadkan seseorang, ianya merupakan satu proses yang memakan masa dan bukannya sekelip mata. Maka boleh ditunggu dan disoal siasat selepasnya di luar kawasan Gereja. Bukti juga boleh diperolehi dari mereka yang disoal siasat. Perlu juga diingatkan bahawa seperti mana maslahah boleh mengharuskan sesuatu tindakan; fitnah dan mafsadah yang lebih besar boleh mengharamkan sesuatu tindakan.

HADIAH BAGI MB

Sebagai contoh akan akhlak dan perwatakan pemuda UMNO dan golongan pencacai mereka, lihatlah pada tindakan mereka menghadiahkan tandas dan berus tandas kepada MB. Saya tidak tahu kaedah dakwah dan usul Fiqh mana yang mereka ikuti tetapi amat jelas bagi saya ianya tindakan yang hanya dilakukan oleh mereka yang kurang waras.

Satu ketika dulu kita dihidangkan dengan sebuah adegan seorang Menteri Besar menghadiahkan penyapu kepada Pegawai Daerah. Jika seorang ketua menghadiahkan penyapu kepada anak buahnya pun dilihat jelek oleh masyarakat, apatah lagi anak buah menghadiahkan tandas dan berus tandas pada ketua! Begitulah keadaan manusia yang ditarbiyyah oleh UMNO. Akhlaknya jelek dan memalukan.

Begitulah juga jika kita menyorot kembali adegan demonstrasi kepala lembu. Walaupun dinafikan UMNO terlibat, tetapi seperti kata perpatah Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina . Perangai dan akhlak yang jelek yang sama dipamirkan untuk tatapan semua. Bagi puak ini, apa sahaja tindakan boleh sahaja mereka lakukan, tiada halal dan haramnya, tiada buruk dan baiknya. Mereka anggap tiada masalah selagi mereka melaungkan retorik Islamik sedangkan tindakan mereka bercanggah dengan akhlak Islam. Mereka inginkan supaya syariat mengikut kehendak mereka dan bukan mereka mengikut kehendak syariat.

Pendek kata, UMNO masih ditahap pemikiran yang lama. Tiada perubahan. Rakyat Selangor perlu sedar akan hakikat ini dan terus menolak mereka sehingga, mungkin pada satu hari kelak mereka mampu menzahirkan akhlak dan perwatakan yang lebih baik.

MENYOKONG USAHA MEMURTADKAN ORANG ISLAM?

Sikap sambil lewa mereka terhadap persoalan membuat tuduhan yang melulu jelas terserlah apabila ada di kalangan mereka sanggup menuduh saya menyokong usaha memurtadkan orang Islam. Orang yang takut pada seksaan Allah tidak akan mengeluarkan kata-kata seperti itu dengan begitu mudah sekali. Lebih-lebih lagi apabila sejarah membuktikan sebaliknya.

Saya telah sejak dari awal bersama PAS memperjuangkan supaya Islam dimartabatkan sepenuhnya, iaitu aqeedahnya, akhlaknya dan syariatnya. Dalam mendukung perjuangan ini, saya sendiri telah ditahan bawah ISA semasa ‘Ops Lalang’ 1987 dan di antara sebab saya ditahan ialah penglibatan saya dalam program PAS yang mendedahkan masalah Kristianisasi di kalangan masyarakat Melayu. Akan tetapi penyelesaian yang dibawa PAS bukanlah untuk bertindak secara melulu tetapi untuk menangani kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan masyarakat Islam hasil dari kepimpinan UMNO. Masalah sepertimana yang ditonjolkan oleh beberapa penulis termasuklah Dr. Asri dalam blognya yang termasuk juga kelemahan dalam pendidikan agama, bantuan kebajikan dan lain-lain.

Mungkin ada yang tidak dapat memahami masalah yang dihadapi oleh golongan sebegini. Semasa di Kamunting saya telah ditemukan dengan Jamaluddin dan Helmi yang kedua-dua mereka adalah Melayu Kristian. Mereka menjadi Kristian di Singapura setelah mereka lari dari rumah dalam usia belasan tahun di atas sebab masalah keluarga dan di Singapura mereka mendapat bantuan dari kumpulan Kristian. Akhirnya mereka menganut agama Kristian dan Jamaluddin sendiri menjadi seorang pastor.

Semasa di Kamunting, pihak kem meminta bantuan saya untuk memberikan kaunseling kepada mereka dengan harapan dapat menarik mereka kembali ke pangkuan Islam. Jamaluddin berkeras dan enggan bertemu untuk berbincang dalam apa keadaan sekali pun. Dia menyatakan dia sudah memahami Islam, datuknya seorang alim di Patani dan dia terus menolak apa-apa usaha untuk memulakan perbincangan mengenai agamanya.

Helmi mempunyai sikap yang lebih terbuka tetapi selepas hanya satu sesi meminta supaya tidak diteruskan lagi kerana, katanya, “dalam keadaan diri saya ditahan, saya tidak mampu melayani apa-apa keraguan terhadap keyakinan keagamaan saya”. Dengan kata-kata itu, dia menolak untuk meneruskan sesi perbincangan tersebut.

Saya ditegur oleh beberapa tahanan lain yang mengingatkan saya bahawa saya seorang tahanan, itu bukan kerja saya, serahkan sahaja kepada pegawai pemulihan. Namun saya sedar bahawa pegawai pemulihan tidak diberikan latihan di dalam bidang ini sedangkan saya sudah berpengalaman berdebat dengan Evangelis Kristian di UK semasa menuntut di sana. Lagipun, saya tetap seorang pendakwah, tidak kira di mana, walaupun dalam tahanan.

Walaubagaimanapun, apa yang saya agak kesal ialah saya tidak meneruskan hubungan dengan Helmi dan mencarinya selepas dia dibebaskan untuk berdialog dengannya. Dia pernah menghubungi saya sekali selepas dibebaskan dan mencadangkan supaya kami bertemu. Namun pada ketika itu saya terlalu sibuk, tidak seperti semasa dalam tahanan dan saya tidak sempat berjumpa dengannya. Akhirnya saya dengar dia telahpun berhijrah ke Kanada.

TIDAK SERBU HANYA PERIKSA

Baru-baru ini JAIS menyatakan bahawa mereka tidak menyerbu dan menceroboh Gereja DUMC. Mereka hanya melakukan satu pemeriksaan selepas berunding dengan pihak Gereja dan menunggu selama hampir sejam. Kalau kenyataan itu benar, maka baguslah kerana sememangnya Islam menegah kita dari menceroboh masuk ke rumah ibadat agama lain. Dengan penafian ini, maka saya kira, secara tidak langsung JAIS pun bersetuju bahawa tindakan menyerbu dan menceroboh rumah ibadat perlu dielakkan. Kalau tidak ianya akan menjatuhkan imej Islam itu sendiri.

Namun apa yang perlu dilakukan sekarang oleh pihak JAIS ialah untuk mendakwa pihak yang melakukan kesalahan menyebarkan agama lain kepada orang Islam sekiranya ada bukti bahawa ianya benar-benar berlaku. Biar perkara ini diputuskan di mahkamah, bukan di media. Apa yang dipamerkan di muka akhbar entah benar atau sebaliknya. Lebih bersifat sensasi dan bertujuan mengapi-apikan suasana. Kalau ada bukti, maka JAIS perlu terus mendakwa pihak yang melakukannya supaya dia dihukum dan usaha sedemikian dihentikan.

TUNJUK PERASAAN DI MASJID NEGERI

Saya dimaklumkan bahawa telah diadakan tunjuk perasaan di Masjid Negeri. Hairan saya, tiada polis yang datang menghalang, tiada polis, tiada FRU. Perkataan yang dikeluarkan dikatakan jelas bersifat menghasut namun ianya dibenarkan berjalan dengan begitu sahaja. Kata orang, amat mudah jika ingin tahu demonstrasi anjuran UMNO. Tiada polis, tiada FRU.

Negara kita semakin jelas bagaikan mempunyai dua sistem undang-undang. Satu untuk rakyat biasa, satu untuk UMNO/BN. Kalau untuk rakyat biasa, yang dibenarkan dan dijamin perlembagaan sekalipun boleh menjadi satu kesalahan sambil bagi UMNO/BN, yang jelas bercanggah dengan undang-undang sekalipun boleh dilakukan oleh mereka. Begitulah 'hebat'nya menjadi OKU (Orang Kuat UMNO).

Inilah di antara sebab mengapa perubahan perlu dilakukan semasa PRU ke-13 ini. Jika tidak, Negara kita akan semakin dirosakkan oleh kelompok ini. Mungkin ke tahap yang tidak boleh diselamatkan lagi, ‘beyond repair’.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

http://www.khalidsamad.com/2011/08/sekilas-ikan-di-air.html#more

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails