Friday, August 5, 2011

17 ribu pengundi bertindih di Selangor!

SEMANGAT Bersih 2.0 tidak terhenti pada 9 Julai. Ia akan terus disemarakkan sehingga lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum kepada Yang DiPertuan Agong dipenuhi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini yang ditegaskan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor. Ikuti butiran lanjut mengenai perkara ini sebagaimana dinyatakan dalam wawancara Editor Harakah, DATO' TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan NYZA AYOB pada 28 Julai lalu.


Momentum Bersih 2.0 akan mati jika PAS tidak "memanaskannya" dalam bentuk pelbagai aktiviti di semua peringkat. Bagaimana PAS dapat mobilisasi perkara ini?

MOHD SANY HAMZAN: Mungkin saya boleh tekankan di peringkat Jabatan Pilihan Raya dan Lajnah Mobilisasi dan Demokrasi Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Di peringkat PAS Selangor, kita minta di semua Pusat Khidmat Masyarakat, Adun atau Penyelaras Dun, Ahli Majlis serta penjawat awam di Selangor sekiranya ingin mengedarkan kad ucapan Hari Raya, lapan tuntutan Bersih itu dimasukkan dalam kad ucapan tersebut.

Begitu juga sekiranya pihak berkenaan menyediakan sampul duit raya. Lapan tuntutan Bersih itu mesti dicetak di sampul duit raya tersebut. Selain itu kita juga berharap risalah berkenaan tuntutan tersebut diedarkan di masjid-masjid dan surau di Selangor. Ia boleh dimanfaatkan di bulan Ramadan ini kerana ramai mengunjungi masjid dan surau sepanjang bulan ini.

Tentang kempen "Kuningkan Sabtu". Kenapa tidak Pemuda PAS sahaja yang mempelopori kempen ini dengan memperkenalkan pelbagai program pada setiap Sabtu?

Memang kami ada mengeluarkan arahan kepada Pemuda PAS di setiap negeri dan kawasan. Sebenarnya Pemuda PAS di negeri dan kawasan cuba untuk melaksanakan program untuk menghidupkan Bersih ini. Cuma kita nampak sekarang ini Umno dan BN menggunakan polis untuk memerangi momentum Bersih ini. Apabila ada kalangan Pemuda PAS atau Pakatan Rakyat memakai baju Bersih, mereka akan dicekup. Kita tidak tahu sebenarnya apa yang menyebabkan polis bertindak demikian.

Apakah yang menyebabkan mereka takut dengan baju kuning dan lapan tuntutan kita itu? Tuntutan kita adalah tuntutan munasabah. Kita bukan hendak merusuh atau melakukan revolusi atau ingin menumbangkan kerajaan dengan mengadakan demonstrasi di jalan raya. Lapan tuntutan seperti celup dakwat, tempoh berkempen 100 hari dan akses kepada media merupakan tuntutan yang kita kira munasabah.

Tetapi apabila kita hendak menghidupkan 'Kuningkan Sabtu', BN menggunakan polis untuk menghalang setiap program yang kita lakukan. Walau bagaimanapun, kita tetap akan teruskan dengan pelbagai program pada setiap Sabtu tetapi dengan program-program seperti yang kita nyatakan di atas sempena Ramadan ini. Kita juga boleh menyatakan sokongan kita dengan menyemarakkan 'semangat kuning' ini dengan mengenakan tema kuning pada Aidilfitri nanti. Itu sebagai tanda sokongan yang penuh simbolik.

Apa langkah Pemuda PAS untuk menyedarkan masyarakat di luar bandar khususnya di kalangan orang Melayu yang tidak mendapat maklumat benar tentang Bersih 2.0 ini?

Kita juga meminta Pemuda PAS dan Jawatankuasa PAS kawasan mempergiatkan aktiviti memberi penerangan kepada masyarakat mengenai apa yang kita tuntut kepada SPR pada 9 Julai lalu supaya dapat dijelaskan kepada masyarakat luar bandar. Saya kira masyarakat luar bandar dan pinggir bandar yang mempunyai akses kepada media dan internet mungkin sudah mengetahui dan memahami tentang lapan tuntutan Bersih ini.

Mungkin masalah tentang memahami perkara ini timbul di kalangan masyarakat luar bandar. Kami akan menerbitkan poster dan kalendar 2012 yang menerangkan mengenai lapan tuntutan Bersih ini. Kami juga telah mengeluarkan arahan kepada PAS kawasan menjual kalendar Bersih ini dengan harga yang amat murah. Dan kita minta kalendar ini dibingkaikan dan ditampal di rumah masing-masing. Maknanya setiap rumah ahli atau penyokong PAS ini mesti mempunyai poster dan kalendar Bersih dan digantung di tempat yang menjadi tumpuan tetamu. Sekurang-kurangnya tetamu yang datang itu, jika dia belum memahami atau langsung tidak mengetahui apa itu tuntutan Bersih, akan bertanya kepada tuan rumah.

Ini cara untuk menterjemahkan Bersih?

Lapan tuntutan ini sebenarnya boleh diterjemahkan. Selain itu kita juga meminta kerjasama Lajnah Penerangan dan Lajnah Tarbiah supaya semua ustaz-ustaz menggunakan sedikit waktu apabila memberi tazkirah atau kuliah agama tentang mengapa perlunya untuk mengembalikan pilihan raya yang adil, bebas dan saksama dalam sistem demokrasi di negara ini.

Di peringkat Pemuda PAS Pusat, Lajnah IT sedang menyiapkan cakera padat (CD) yang akan kita edarkan kepada 1.2 juta warga kota yang akan balik bercuti sempena hari raya nanti. Itu antara perancangan kita bagi mobilisasi kelangsungan aktiviti Bersih 2.0 ini. Kita tidak mahu ia mati pada 9 Julai.

Ramai yang beranggapan tuntutan Bersih 2.0 ini hanya untuk kepentingan politik. Bagaimana Pemuda PAS hendak menangkis dakwaan ini?

Ini bukan politik. Kami kira tuntutan Bersih 2.0 ini bukan hanya melibatkan golongan pembangkang. Sebagaimana yang kita lihat pada Debat 'Apa Selepas 9 Julai?' baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah turut menyokong tuntutan Bersih 2.0. Dalam ceramah-ceramah kita yang menyentuh mengenai Bersih 2.0 ini, kita sanggup kalah seribu tahun lagi selagi sistem pilihan raya kita tidak adil.

Selepas Debat 'Apa Selepas 9 Julai?', tidak nampak ada banyak diskusi dianjur tentang Bersih seperti forum dan seminar. Kenapa kesuraman ini berlaku?

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat, melalui jabatan pilihan raya, kita telah mengumpul data-data dan bukti pertindihan seorang pengundi yang boleh mengundi dua kawasan parlimen. Ia melibatkan perkara-perkara teknikal. Sebab itu saya tidak mahu menguarkannya dahulu. Baru-baru ini sewaktu kami membuat laporan polis mengenai perkara ini, kita cuma mendedahkan empat dan lima nama sahaja. Kami dapati kad pengenalan lama dia betul tapi my kad dia empat angka terakhir diubah. Sebagai contoh dalam kad pengenalan asal namanya Mohd tapi dalam mykad diubah kepada Muhd. Yang perempuan pula contohnya ejaan Binti ditukar kepada Bt. Jadi dia boleh mengundi di lokasi yang berbeza.

Bagaimana ini boleh terjadi? Sedangkan pengerusi SPR mengatakan data ini sudah dibersihkan...

Insya-Allah perkara ini kami akan dedahkan secara besar-besaran. Di Selangor, kami dapat dedahkan hampir 17,000 pengundi yang bertindan yang dapat mengundi di kawasan parlimen yang berbeza dalam satu-satu pilihan raya. Jabatan Pilihan Raya di setiap PAS negeri juga tengah mengumpulkan bukti. Pada 4 Ogos nanti bertempat di Hotel De Palma, Ampang, kita akan mengadakan forum bagi menjawab semula jawapan diberikan SPR dalam Debat 'Apa Selepas 9 Julai?' baru- baru ini.

Kita akan menjawab semula segala jawapan yang diberikan SPR berdasarkan buku yang diedarkan badan tersebut. Kita juga akan menjawab segala persoalan kenapa relevan lapan tuntutan tersebut

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails