Saturday, July 23, 2011

Usir William Bourdon : Apa yang disembunyikan Najib?

KUALA LUMPUR 23 JULAI : Pengusiran peguam Perancis William Bourdon tidak mematahkan semangat badan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pakatan Rakyat dalam memastikan penyiasatan berkenaan skandal pembelian kapal selam Scorpene diteruskan.

Malah ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyatakan pengusiran Bourdon merupakan satu lagi bukti betapa terdapat sesuatu yang disembunyikan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

“Kita tahu polis Perancis sudah memperoleh sejumlah banyak dokumen penting, mengaitkan (Datuk Seri) Najib Razak, perdana menteri kita yang dicintai. Sebab itu tindakan-tindakan tidak munasabah diambil hari ini (semalam).


"Saya fikir, kerana kerajaan telah mengusir beliau dengan cara yang tidak baik semalam, ia membantu perjuangan kita. Ini semua satu ujian. Saya lihat apa yang berlaku sebelum 9 Julai hingga kini satu ujian kepada pentadbiran Najib. Ujian bagaimana pelan-pelan dan transformasi," kata beliau pada majlis makan malam anjuran Suaram untuk mengumpul dana perundangan bagi menyiasat kes berkaitan di Perancis lewat tahun ini.

Kelmarin, Bourdon berucap di Pulau Pinang pada majlis sama anjuran Suaram dan sepatutnya berucap di sini malam tadi.

Bagaimanapun beliau ditahan sebelum sempat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba pada 11.40 pagi semalam dari Pulau Pinang.

Pengarah Eksekutif Suaram Cynthia Gabriel menceritakan betapa cara penahanan dan pengusiran yang tidak beretika oleh Jabatan Imigresen.

Beliau yang mengiringi Bourdon turut mendedahkan bahawa Bourdon dipaksa menandatangani satu kenyataan dalam bahasa Malaysia dan tidak difahaminya.

Malah, menurut Cynthia, Bourdon turut 'diundang' untuk ditahan di KLIA selama tiga hari kerana dijadualkan balik ke Perancis pada Ahad ini namun ditolak Bourdon yang menggunakan wang sendiri membeli tiket baru untuk pulang ke Perancis jam 11.50 malam semalam.

"Bolehkah anda bayangkan? Pihak berkuasa Malaysia menangkap personaliti Perancis yang dikenali di serata dunia ini selama 3 hari.

"Cara beliau ditangkap juga kejam. Sejurus kapal terbang mendarat dari Pulau Pinang pada 11.50 pagi tadi. Sebelum kami sempat keluar dari Kapal Terbang, 3 pegawai imigresen naik ke kapal dan mengarahkan Wiliam untuk mengikut mereka. Dia (Bourdon) tidak sempat menjejakkan kaki pun dan beliau sudah ditangkap," kata Cynthia lagi.

Pada Disember 2009 Suaram mengemukakan aduan di mahkamah Perancis meminta akses kepada maklumat mengenai perjanjian kerajaan yang ditandatangani Abdul Razak Baginda dari Perimekar Sdn Bhd dan maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.

Mahkamah Perancis menerima aduan itu untuk menyiasat dakwaan rasuah berjumlah RM500 juta dari DCNS kepada Perimekar.

DCNS didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Sementara itu, ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menghabiskan kira-kira 20 minit untuk menggambarkan mengenai urusan pembelian kelengkapan pertahanan sepanjang tiga tahun lalu, berjumlah RM16 bilion, jumlah besar berbanding dengan negara lain di rantau ini.

Pua mendedahkan ia termasuklah RM2.3 bilion untuk membeli 12 unit helikopter Eurocopter EC725, RM6 bilion untuk memiliki kapal rondaan luar pesisir pantai (OPV) dan RM7.8 bilion untuk mendapatkan 257 kereta perisai.

Beliau melahirkan kekecewaannya walaupun menganggotai Jawatankuasa Kirawang Awam di parlimen, penyiasatan seperti ini lazimnya berakhir dengan alasan 'ia rahsia' dan 'tidak boleh menjatuhkan kredibiliti orang lain.'

"Boleh tak kita minta pakar pertahanan ke PAC beri konsultasi, mereka kata tak boleh. PAC hanya panggil pegawai sahaja dan kemudian kes tutup...saya sudah nampak di PAC. sebab itu saya hargai usaha Suaram untuk siasat komisyen RM 500 juta Perimekar ini. Ia amat susah," kata beliau ketika menceritakan pengalaman beliau di bawah PAC.


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails