Wednesday, July 27, 2011

Tarikh PRU 'Terlalu Dekat' - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 27 JULAI : Selepas membayangkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bahawa tarikh itu 'terlalu dekat'.

Portal The Malaysian Insider yang memetik seorang ahli parlimen yang turut menghadiri majlis makan malam tahunan yang diadakan di PWTC malam kelmarin berkata, Muhyiddin mahu mereka menganggap seolah-olah “pilihan raya boleh diadakan hujung minggu ini.”


“Timbalan Perdana Menteri tidak memberi sebarang bayangan kecuali meminta kami agar bersiap sedia sepanjang masa, menganggap bahawa pilihan raya akan diadakan hujung minggu ini... itu sahaja bayangan beliau, tiada bayangan lain,” kata ahli parlimen itu.

Majlis makan malam itu dihadiri oleh ahli-ahli parlimen kalangan anggota BNBBC dan timbalan-timbalan menteri.

Spekulasi terbaru menyebut kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri, pada Oktober dan November ini, meskipun khabar angin sebelum ini mengatakan parlimen mungkin dibubarkan tahun depan.

Mandat semasa hanya akan berakhir April 2013.

Pertemuan ini diadakan tiga minggu selepas perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Terdahulu, Muhyiddin membayangkan bahawa tinggal beberapa bulan sahaja lagi pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung.

Justeru itu, beliau menggesa semua parti komponen dan anggota gabungan Barisan Nasional merapatkan barisan menjadi satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka sengit itu.

"Kita tidak mempunyai banyak masa. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan kita mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa kita mempunyai pasukan yang mantap untuk berdepan pilihan raya umum.

"Kalau sebelum ini kita mempunyai Team 1, Team 2 dan sebagainya, saya mahu mulai sekarang, kita hanya mempunyai satu team sahaja iaitu Team BN," katanya ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan ke-19 parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) ke-19 di Seri Kembangan di ibu negara minggu lagi.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, perpaduan di kalangan parti komponen dan anggota gabungan ialah pra-syarat utama yang mesti diberi tumpuan kerana ia boleh memberi kesan kepada PRU.

IPF yang diasaskan mendiang Tan Sri M.G Pandithan pada tahun 1991 telah diterima sebagai anggota gabungan BN pada awal tahun ini.

Ini juga merupakan kali pertama persidangan tahunan parti itu dirasmikan oleh pemimpin tertinggi negara.


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails