Sunday, July 24, 2011

SPR Tidak berwibawa - EU

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Meskipun Putrajaya terus mempertahankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), diplomat-diplomat Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbangkan cadangan untuk menghantar kumpulan pemerhati ke Malaysia ketika pilihan raya umum ke-13 selepas mendapati agensi pengendali pilihan raya itu bukan sebuah badan yang berwibawa.

Pendirian itu dibuat susulan satu taklimat diberikan oleh suruhanjaya itu baru-baru ini.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.


Beberapa diplomat memberitahu The Malaysian Insider, taklimat Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof beberapa minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 tidak meyakinkan mereka tentang kedudukannya sebagai sebuah badan berkecuali dengan terus mengatakan mereka sebahagian daripada kerajaan.

“Mereka tidak berwibawa. Abdul Aziz asyik mengulangi ‘kami’ dan ‘kita’ dalam kerajaan ketika taklimat,” kata seorang diplomat EU kepada The Malaysian Insider.

Abdul Aziz merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri sebelum dilantik mengetuai SPR bermula 31 Disember 2008 selepas kontraknya berakhir.

Seorang diplomat dari satu lagi negara EU mengesahkan taklimat itu dan rumusan yang mereka putuskan.

Malaysia mengadakan pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

“(Langkah) itu sensitif tetapi kami sedang memikirkan untuk mengesyorkan pasukan pemerhati agar boleh memantau pilihan raya umum akan datang,” kata beliau dengan merujuk kepada misi pemantau Komanwel yang datang ketika pilihan raya umum 1990.

Pilihan raya umum 1990 merupakan yang pertama sejak krisis Umno 1986/1987 dan turut membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan kewujudan perikatan pembangkang.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjemput pasukan pemantau sejak itu dan enggan mendedahkan kepada umum laporan misi itu.

Terdapat beberapa badan pemantau pilihan raya tempatan tetapi menerima kerjasama yang kecil daripada SPR.

Seorang diplomat berkata mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Bersih 2.0 untuk mendapatkan taklimat mengenai lapan tuntutan mereka.

“Kami ada satu taklimat yang diberikan oleh pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan mengenai perjuangan mereka,” katanya tetapi enggan memberi butiran spesifik mengenai hasil pertemuan itu.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu berkaitan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

Walaupun dihalang dan disekat pihak berkuasa termasuk memutuskan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram, penganjur mendakwa telah berjaya menghimpunkan 50,000 orang. Tetapi polis menafikan jumlah itu dengan berkata hanya 6,000 orang hadir.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails