Sunday, July 17, 2011

Sokong yang bakal membawa Rebah buat PAS Kedah..

Dalam melaksanakan sesuatu agenda, kita kadang-kadang memerlukan sokongan samada untuk mengukuhkan lagi agenda tersebut ataupun menunjukkan solidariti yang kita ada.. tapi kalau jenis yang menjadi Sokong untuk membawa rebah macam kat bawah ni.. tak payahlah..

UMNO sokong tindakan Pas

ALOR SETAR - UMNO Kedah menyokong Kerajaan Negeri melaksanakan enakmen yang melarang operasi pusat hiburan sepanjang Ramadan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah bagaimanapun berkata, langkah penguatkuasaan undang-undang itu harus seiring dengan budi bicara demi menjaga hati dan kepentingan masyarakat bukan Islam.


“Saya sokong pelaksanaan enakmen 1997 itu tapi perlu ada budi bicara. Saya nampak, tindakan ini akan makan diri mereka (Kerajaan Pakatan Rakyat) sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, Pas tidak sepatutnya mempolitikkan tuntutan orang bukan Islam di negeri ini semata-mata untuk melaga-lagakan parti komponen BN.

Menurutnya, tindakan Pemuda Pas Pusat mengecam UMNO yang berdiam diri ditenggelami ‘kelantangan’ MCA dan Gerakan memperlihatkan muslihat sebenar parti itu menggunakan Enakmen 1997 untuk memecahbelahkan BN - Sinar Harian


Pusat hiburan hanya untuk orang bukan Islam di Kedah

AMPANG 17 JULAI: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memaklumkan penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 di negeri Kedah boleh beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan nanti, namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Menurut Abdul Hadi, kekeliruan yang berlaku sebelum ini sengaja ditimbulkan media arus perdana dengan menyiarkan laporan tidak tepat hingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

Malah, katanya keputusan yang dibuat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang diluluskan oleh Umno-Barisan Nasional(BN) ketika mentabir negeri itu sebelum ini.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, undang -undang itu telah “diperbetulkan” agar hak orang bukan Islam tidak dinafikan dalam pentadbiran negeriPakatan Rakyat.

Ujarnya lagi, pusat hiburan di Kedah kini dibenarkan untuk beroperasi pada bulan Ramadhan nanti dengan syarat pihak pengurusan premis itu menguatkuasakan larangan kepada orang Islam untuk tidak memasuki premis terbabit.

“Kita sudah dapat maklum balas daripada pihak pengurusan premis hiburan dan rakan-rakan pemimpin Pakatan Rakyat dan mendapati laporan media yang disiarkan tidak tepat,"katanya memetik laporan The Malaysian Insider.

“Media BN sengaja gunakan isu ini, jadi PAS ambil jalan menyelesaian iaitu hak orang bukan Islam walaupun diharamkan dalam Islam tapi mereka ada hak dan yang kedua hak orang Islam tidak boleh melakukan maksiat," ujarnya lagi.

“Jadi orang bukan Islam sahaja boleh masuk (pusat hiburan), jangan bagi orang Islam masuk,” katanya pada sidang media di sini sambil menambah tindakan akan diambil ke atas mana-mana pusat hiburan yang membenarkan orang Islam memasuki premis mereka,"katanya.

Jelas Abdul Hadi, berdasarkan keterangan yang diberikan Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat hari ini, pusat hiburan boleh ditarik lesen sekiranya didapati membenarkan orang Islam memasuki premis pada bulan Ramadan.

Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997 itu melarang pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar serta di warung kopi, karaoke dan disko.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat ia tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails