Saturday, July 9, 2011

Polis Langgar Mat Sabu Sebelum Menahan Beliau?

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa telah dilanggar kereta polis sebelum beliau ditahan dekat kawasan Masjid Negara tengah hari tadi, kata peguam R Sivarasa hari ini.

Dalam e-mel yang diperoleh The Malaysian Insider petang ini, Sivarasa menulis bahawa ketika kejadian Mohamad (gambar) sedang membonceng motosikal di kawasan Masjid Negara di sini untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Mohamad merupakan salah seorang daripada 91 individu dilarang memasuki kawasan ibu negara hari ini.

Sivarasa, Ahli Parlimen Subang, merupakan antara pemimpin Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat yang ditahan hari ini.


“Saya dimaklumkan oleh Mat Sabu (Mohamad) mengenai cara mengejutkan beliau ditahan. Beliau membonceng motosikal ketika menuju ke Masjid Negara kira-kira 12.30 tengah hari apabila sebuah kereta polis mengesan beliau dan dengan sengaja melanggar motosikal untuk menahan beliau.

“Motosikal itu jatuh. Lutut kanan beliau cedera teruk. Meskipun tidak patah, tetapi tidak boleh berjalan. (Malah) tidak boleh berdiri tanpa sokongan,” katanya dalam e-mel yang dihantar kepada rakan-rakannya di PKR petang ini.

Sivarasa juga berkata beliau merasakan Mohamad perlu dibawa ke hospital, bukannya diletakkan di lokap.

“Beliau pada awalnya dibawa ke sana (hospital), tetapi telah dibawa semula ke (balai polis) Jinjang,” katanya lagi.

Selain Sivarasa dan Mohamad, The Malaysian Insider difahamkan turut ditahan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR Tian Chua dan ahli jawatankuasa eksektutif DAP Ngeh Koon Ham.

Tuan Guru Haji Hadi dan Ambiga sudah dibebaskan petang tadi.

Sivarasa menambah, “hampir pasti (semua yang ditahan) akan bermalam (di lokap). Kemungkinan reman susulan esok.”

Dipetik dari abushahid.wordpress.com

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails