Monday, July 4, 2011

Najib perlu temui segera penganjur Bersih jika taat titah Agung

KUALA LUMPUR, 4 Julai: DAP menyambut baik keperihatinan Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin tentang perhimpunan Bersih dan meminta Perdana Menteri agar bertemu segera dengan penganjur Bersih 2.0.

Pertemuan ini perlu untuk menguruskan segera keprihatinan rakyat untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil menjelang pilihan raya umum ke 13.

Langkah seterusnya adalah dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein menarik balik pengharaman Bersih dan membebaskan semua tahanan yang berkaitan dengannya termasuk anggota Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jayakumar.


Demikian kata ketua anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika mengulas titah Yang Dipertuan Agung berkaitan Bersih 2.0 hari ini.

Kenyataan ini adalah yang pertama dari pemimpin kanan parti politik Pakatan Rakyat ekoran titah Yang Dipertuan Agung yang dikeluarkan lewat petang semalam itu.


Dalam titah itu, Yang Dipertuan Agung menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda seminggu menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Polis pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

"Keperhatinan Yang Dipertuan Agung tentang 'kegilaan' yang memuncak ekoran cadangan perhimpunan aman untuk pilihan raya yang bersih dan adil anjuran Bersih 2.0 9 Julai sangat tepat dan dialu-alukan," kata Lim Kit Siang dalam kenyataan itu.

"Jangan ragukan sikap petriotik dan taat setia rakyat Malaysia yang mahu melihat pilihan raya umum yang bebas dan adil iaitu bentuk tertinggi kecintaan, ketaatan dan petriotik kepada Malaysia," katanya.

Sebagai langkah positif yang pertama terhadap titah Yang Dipertuan Agung itu, Perdana Menteri perlu menemui pimpinan Bersih 2.0 segera, tegas beliau.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails