Thursday, July 21, 2011

Inkues Sarbaini : Raja Petra merapu?

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, sebagai seorang yang “bercakap merapu” sambil menegaskan dakwaan-dakwaan mengenai kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed tidak benar.

Ini kerana menurut Datuk Seri Shafee Abdullah (gambar), sepanjang inkues setakat minggu lalu ramai saksi telah dipanggil memberi keterangan dan pakar forensik juga mengatakan Sarbaini, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia tidak membunuh diri atau dibunuh.


“Raja Petra cakap merapu, dalam inkues kita sudah panggil saksi dan pakar (forensik) juga tidak kata Sarbaini bunuh diri atau dibunuh.

“Saya percaya dakwaan ini tidak akan menjejaskan inkues, Raja Petra sudah jadi (bahan) sejarah dan selalu cakap merapu.

“Raja Petra sudah tidak ada modal (untuk bercakap), dia tiada kredibiliti, suka merepek dan sudah tidak diterima pembangkang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas beliau, adalah mustahil untuk Sarbaini keluar dan berdiri di atas tingkap bilik pantri seperti mana yang didakwa Raja Petra.

“Tiada sesiapa boleh bertenggek atas tingkap atau berdiri, yang boleh hanya berdiri di luar tingkap dan ia kita dah tunjukkan (dalam lakon semula kejadian).

“Kalau Raja Petra boleh, saya minta dia buat (berdiri atas tingkap),” katanya.

Sehingga semalam, Raja Petra telah menulis tujuh entri dan yang terbaru dalam blognya mendakwa Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Ekoran pendedahan itu peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh memberitahu The Malaysian Insider semalam bahawa pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan terbaru itu.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian.

Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela untuk menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian menunjukkan Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails