Sunday, July 31, 2011

Imej Najib tak akan pulih dengan bebaskan tahanan PSM

SHAH ALAM 30 JULAI : Ketua Parlimen Nasional DAP Lim Kit Siang mengingatkan Najib Razak bahawa kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia kini terjejas teruk berikutan kegagalan pentadbiranya menangani beberapa isu berhubung Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) termasuk penahanan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.


Malah katanya, pembebasan keenam-enam mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar tidak akan mampu mengubah persepsi rakyat terhadap pentadbiran Najib ke arah yang lebih positif.

"Ia kegagalan terbesar kepimpinan (Najib) sebagai Perdana Menteri hingga menyebabkan kredibiliti beliau hancur. Ini menyebabkan kenyataan beliau mengenai pembebasan PSM 6 di bawah Ordinan Darurat berlaku menurut undang-undang diperlekeh orang ramai.

"Najib salah, apabila memikirkan dengan pembebasan PSM 6 semalam akan dapat memulihkan kredibilitinya," kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Najib menyatakan bahawa pembebasan keenam-enam ahli PSM mengikut undang-undang dan tindakan Polis itu mengikut 'pemerhatian mereka'.

Enam ahli PSM yang dibebaskan lewat petang semalam selepas ditahan tanpa bicara mengikut Ordinan Darurat (EO) selama 28 hari.

Mereka adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar; Naib Presiden PSM M Sarasvathy, Ahli Jawatankuasa Pusat, Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Ketua Pemuda R Saratbabu dan Setiausaha Cawangan Sungai Siput, A Letchumanan.

Bagaimanapun, Kit Siang mencadangkan kepada Najib agar mengambil empat langkah untuk memulihkan imej beliau yang sudah tercalar.

Empat langkah itu ialah mengarahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammudin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar meminta maaf secara terbuka kepada enam ahli PSM terbabit, menarik baik EO dan semua undang-undang tahanan tanpa bicara dan zalim, mengangkat pengharaman Bersih 2.0, dan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja berkenaan Pilihan Raya bebas dan adil.

"Hanya bila Najib bersedia menyelesaikan empat perkara 'asas' ini dia boleh berhadap untuk memulihkan kredibilitinya yang tercalar dalam masa lima minggu ini kerana kegagalan menangani Himpunan Bersih 2.0 dan penahanan PSM 6 itu," kata Lim.


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails