Saturday, July 2, 2011

Dr D Jeyakumar dan lima lagi ditahan mengikut Ordinans Darurat

Ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula mengikut Ordinans Darurat (EO) sebaik mereka dibebaskan pada jam 2 petang tadi.

Menurut peguam mereka, antara ahli lain yang ditangkap semula itu adalah timbalan pengerusi PSM M Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, setiausaha bahagian Sungai Siput A Letchumanan dan pemimpin pemuda Sarat Babu.

Menurut tweet PSM sebelum ini, mereka akan dibawa ke Bukit Aman di Kuala Lumpur.


Bendahari PSM Siva Rajan pada sidang media di luar mahkamah Butterworth berkata kumpulan itu dibebaskan dari ibu pejabat daerah polis Kepala Batas, Pulau Pinang pada jam 2 petang ini.

Namun, kata Siva mereka ditangkap semula oleh anggota polis dari Bukit Aman yang bersedia menunggu di luar balai berkenaan.

Ordinans Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan polis menahan seseorang suspek sehingga 60 hari.

Keenam-enam mereka adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditangkap di plaza tol Sungai Dua pada 25 Julai lalu ketika menaiki bas menuju ke Pulau Pinang.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Pada Khamis, 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan keenam-enam mereka dikenakan tahanan reman sehingga hari ini.

Kebanyakan aktivis hak asasi manusia menganggap Ordinans Darurat lebih kejam daripada ISA. Seperti ISA, tidak perlu perintah reman daripada mahkamah untuk tangkapan seumpama ini.

Lazimnya, sejak beberapa tahun lalu, EO digunakan oleh polis bagi mengehadkan pergerakan mereka yang disyaki sebagai samseng dan terbabit dengan aktiviti haram dan kongsi gelap.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails