Saturday, July 30, 2011

DAP jual tanah seluas 300.5 hektar di Sendayan?

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan didakwa tidak telus berkaitan transaksi penjualan tanah seluas 300.5 hektar di Sendayan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Anthony Loke, (gambar kanan) mempersoalkan mengenai harga jualan keseluruhan tanah tersebut dan nilai jualan setiap kaki persegi.

“Apakah terma-terma dalam perjanjian jual beli tersebut, dan adakah penjualan tanah itu dijalankan secara tender terbuka?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau turut mempersoalkan perihal transaksi tersebut yang dijalankan dengan sangat rahsia sekali.


Pada 16 Jun lalu, media melaporkan tentang majlis tandatangan perjanjian jual beli antara 1MDB dan Menteri Besar Incorporated (MBI) Negeri Sembilan untuk pembelian 300.5 hektar tanah di Sendayan untuk menggantikan pangkalan udara TUDM di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Dalam satu majlis penyerahan cek dua hari lepas di Seremban, Mohamad mengatakan bahawa kerajaan negeri melalui MBI berjaya membayar balik pinjaman RM250 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dalam tempoh 5 tahun.

Bagaimana pun, jelas Loke yang juga Ketua Pemuda DAP , keupayaan kerajaan negeri membayar semula pinjaman tersebut tidak ada kena-mengena dengan kecekapan pengurusan kewangan.

“Ini lebih merupakan kerana sebahagian tanah tersebut telah dijual kepada 1MDB untuk tujuan projek pembinaan pangkalan baru TUDM bagi menggantikan pangkalan lamanya di Sungai Besi yang telah diserahkan kepada 1MDB untuk pembangunan komersial,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Loke yang juga Adun Lobak, kesemua soalan yang diajukan beliau berhubung perkara itu untuk Persidangan DUN pada 8 Ogos depan telah ditolak oleh Speaker DUN, tanpa sebarang sebab.

“Penolakan soalan saya itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali, dan langsung tidak menunjukkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Justeru Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah mendesak Mohamad Hasan agar menjawab persoalan-persoalan berhubung penjualan tanah tersebut kepada 1MDB dengan kadar segera dan secara terbuka.

“Jika beliau gagal memberi penjelasan secara terbuka, ia hanya akan menimbulkan lebih banyak keraguan bahawa perjanjian jual beli itu diselubungi dengan unsur rasuah,” katanya.


Roketkini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails