Saturday, July 23, 2011

Buat apa saya tipu? - Mat Sabu

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata tidak ada sebab bagi beliau menipu apabila mendakwa sebuah kenderaan polis merempuh motosikal yang diboncengnya ketika dalam perjalanan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

“Buat apa saya tipu, siapa mahu masuk hospital, duduk saja, tidak boleh berceramah hentam Umno yang zalim,” katanya kepada Harakahdaily di Georgetown, malam semalam.

Malah dakwanya, tayangan video yang dipaparkan oleh polis kepada media pada Khamis lalu bagi menyangkal tuduhan mengenai kemalangan itu adalah tidak benar.


“Gambar kereta yang merempuh saya yang sedang membonceng motosikal tidak kelihatan dalam gambar kerana Pajero milik polis berada di hadapan.

“Jika tidak pasti nampak kereta polis (Proton Waja) merempuh sehingga saya terjatuh dari motor,” katanya.

Video rakaman penuh yang menunjukkan motorsikal dirempuh Waja sila lihat di (SINI)

Sehubungan itu, menurut Harakahdaily lagi, bagi menangkis tohmahan jahat polis, Mohamad sudah pun mengarahkan peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin supaya menyaman Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Saleh Mat Rashid yang melemparkan tuduhan, menghina dan memfitnahnya.

Saleh pada taklimat di Bukit Aman itu berkata menurut siasatan polis, timbalan presiden PAS itu juga hanya cedera ringan dan diberi rawatan unit pesakit luar. Justeru, katanya, polis tidak faham mengapa beliau perlu berkerusi roda.

“Kami tidak tolak kemungkinan mengambil tindakan ke atasnya. Tidak terdapat sebarang perlanggaran di sini... Ini dibuktikan melalui CCTV yang terdapat di kawasan tersebut. Rakaman itu menyaksikan motosikal yang dibonceng Mat Sabu terbabas ketika melakukan pusingan U dan terlanggar Pajero polis," katanya.

Tambahnya, hasil siasatan menunjukkan Mohamad Sabu sebenarnya terjatuh selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan di sebelah kanan jalan.

Pemimpin PAS pada wawancaranya dengan Malaysiakini pada Rabu lalu menafikan beliau berlakon dan mengemukakan gambar x-ray yang menunjukkan skru sepanjang 2.5 inci terpaksa dimasukkan ke belakang pelipat lutut kanannya yang mengalami kecederaan.

“Alhamdullilah berkat doa rakan-rakan semua pembedahan lutut saya untuk memasukan besi sudah pun selesai,” katanya kepada Harakahdaily semalam.

Mohamad Sabu berkata, jika polis tidak teragak-agak menyamannya kerana mendakwa dia menipu, pihak beliau juga tidak teragak-agak untuk menyaman polis atas dakwaan memfitnah dirinya.

Sebelum ini, Umno dan rakan-rakannya juga mendakwa, pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Mohamad dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim berpura-pura cedera untuk meraih simpati.

Empat hari lalu, pengawal peribadi Anwar membuat laporan polis ekoran kecederaan yang dihadapinya selepas terkena kanister gas pemedih mata sehingga menyebabkan tulang pipinya patah.

Pada perhimpunan BERSIH 2.0 yang lalu, hampir 1,700 orang ditangkap dan ramai yang mendakwa polis bertindak kasar dan keterlaluan.

Di sebalik bukti gambar dan video, namun ini disangkal oleh pihak polis sendiri termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk seri Hishamuddin Hussein.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails