Sunday, July 17, 2011

BERSIH dari Kuala Lumpur ke New York

“Apabila Rakyat takut kepada kerajaan, Ia dinamakan Penjajahan (tyranny), Apabila Kerajaan takut kepada Rakyat, Itu Namanya Kemerdakaan (Liberty)”

Oleh : Nurul Syaheedah

17 JULAI — Pagi hari yang cerah disinar mentari,dihiasi pepohon hijau dengan daun berjuta melambai sayu. Tanah subur bersulam bunga berbagai warna diatas bumi diiringi bunyi kicauan burung-burung, menjadi petanda hari bersejarah yang bakal diukir.

Sambil menyaksikan segala keindahan alam serta kesibukan insan di Kota New York, hati bersyukur kepada tuhan akan kebebasan yang dinikmati di bumi orang. Sebaliknya hati terasa hiba lagi terharu memikirkan apa yang telah berlaku di tanah air sendiri 12 jam yang lalu.


Sememangnya saya bersyukur dengan apa yang telah negara kita capai tetapi realiti kini sukar untuk disembunyi kerana bau bangkai janji kemerdekaan terhidu kuat serata dunia.

Semenjak 1946, rakyat telah berani bangun dan keluar ke jalanraya di bandar dan desa untuk menentang penjajah British. Keberanian berjuang kerana kebenaran berpaksikan hak asasi telah melahirkan sebuah negara merdeka pada tahun 1957.

Alhamdulillah kita bebas dari penjajahan 500 tahun warga asing.

Tetapi, sejarah hitam 1969 mengajar bagaimana nafsu kuasa pihak yang mahu mengangkat satu ketuanan telah mengikat kembali kebebasan demokrasi dengan akta darurat berlapikkan hujah perkauman menjadi nyata. Mimpi merdeka bertukar ngeri kotor lagi menghampakan.

Masya Allah, kita dijajah kembali bukan sahaja dengan dilarutkan demokrasi tetapi jauh lebih dasyat kerana minda dan jiwa dijajah hipokrasi sebuah nasionalisma sempit lagi menghimpit.

“Inilah nasib kisah orang melayu, Hujah lapuk lagi palsu diterima bulat generasi minda yang lesu, Korupsi, Kolusi, Konspirasi depan mata biar diam membisu, Sibuk bersubahat menghalang rakyat berhimpun untuk bersatu, Yang mahu Negara Bersih dan bukan kiasu, Suruh semua bersyukur buta sejarah yang lalu, Tetapi buat lupa dosa kerajaan yang aib lagi tidak malu, Ibarat kisah si Luncai dengan labu-labu..Biarkan..Biarkan”

Mana boleh dibiarkan......dibiarkan begitu sahaja?

Oleh itu tahun 2011 menyusul di atas usaha gergasi 2007 untuk mengembalikan jiwa Malaysia yang berbilang bangsa melalui pilihanraya bebas dan adil menjadi agenda murni patriot jitu negara.

Oleh itu hak demokrasi berani bertembung dengan tamparan kuku besi otokrasi yang tidak mahu negara Bersih daripada dijajah hipokrasi demokrasi penuh korupsi.

Oleh itu kuning menjadi haram, bersih pula dikotorkan dan rakyat terus ditakutkan dengan cerita momok konon mengancam bangsa oleh pemangsa khayalan ciptaan ilusi jiwa muflis bersongkok tinggi.

Mana boleh dibiarkan.....dibiarkan begitu sahaja?

Tanggal 9 Julai bermulalah perjuangan menuntut janji demokrasi sebenar.

Tanggal 9 Julai bermulalah perjuangan membebaskan ekonomi untuk semua.

Tanggal 9 Julai bermulalah perjuangan memerdekakan minda dan jiwa daripada penjajah otokrasi Putrajaya.

Mana boleh dibiarkan....dibiarkan begitu sahaja?

Tepat jam 10 pagi bermulalah tiupan panggilan Bersih pada 9 Julai 2011 di Melbourne, Australia yang terus bergilir mengelilingi dunia secara aman sehingga tiba di Kuala Lumpur di mana patriot pertiwi yang ramai berhimpun damai diserang bertubi-tubi oleh penjajah baru biru yang tidak bersantun lagi lupa diri serta ikrar suci menjaga rakyat dahulu dan bukan diutamakan bersubahat bersama tuan berbibir merah jambu berambut kelabu.

Tepat jam 10 pagi setibanya giliran tiupan Bersih di Kota New York, 12 jam selepas Kuala Lumpur yang masih basah berdarah lagi pedih berasap memahat sejarah; Bersih disambut dengan kain rentang kuning memanjang dan semangat Malaysia Muhibah yang baru.

Mana boleh dibiarkan.....biarkan begitu sahaja?

Maka tuhan dan dunia menyaksikan melalui YouTube, Facebook, Twitter mahupun SMS; pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, antara patriot dan penjajah dan antara Bersih dan Kotor.

Maka Patriot Bersih beribu ditangkap, berjuta menunggu sedangkan 'Patriot' Kotor hanya beratus beratur paksa manakala juak berjuta menyorok di belakang tengkolok hanya taat berolok membuat bising seperti ayam berkokok menunggu disembelih keris tumpul lagi bengkok oleh puak pemakai songkok tinggi yang ghaib kehadiran tersesat di jalanan sebagai alasan balasan dosa nista pahlawan palsu berjiwa lesu.

“Ada Bersih, Ada Kotor, Yang takut berkata karut, Yang berani sanggup digari, Akhirat nanti jawablah sendiri, Buku di tangan kanan atau kiri, Orang berani tidak takut mati, Kerana niat suci didalam hati, Berjuang demi Ilahi.”

Memang benar pagi hari yang indah menjadi petanda sejarah baru diukir.

Cahaya mentari menerangi kegelapan penindasan serta pepohon hijau demokrasi memberi teduh kepanasan kezaliman, kicaun burung penuh kesyukuran perjuangan murni baru dimulakan dan warna-warni bunga ibarat berbagai bangsa bersama untuk menjadikan Malaysia Bebas, Bersatu dan Bersih.

Insya Allah, Malaysia Muhibbah Merdeka sudah lahir bersih dari kekotoran pengkhianat bangsa-pemungkir janji-pemecah amanah-penghasut durjana.

Terima kasih Bersih yang penuh cinta untuk pertiwi dan dengan penuh sayu salam AlFatihah untuk wira Baharudin yang gugur merintis perjuangan menuju kebebasan agar dipenuhi janji merdeka yang sebenar!

Pesanan Peringatan bersama dari Thomas Jefferson:

“Apabila Rakyat takut kepada kerajaan, Ia dinamakan Penjajahan (tyranny), Apabila Kerajaan takut kepada Rakyat, Itu Namanya Kemerdakaan (Liberty)”

Masih mahu dibiarkan.....dibiarkan begitu sahaja?

Nurul Syaheedah, USA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails