Thursday, July 21, 2011

Apa Cerita ni? Dulu dikaitkan Komunis, sekarang BERSIH pula..

Satu afidavit yang difailkan oleh pihak polis mengesahkan bahawa enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan di bawah Ordinan Darurat atas dakwaan peranan mereka dalam BERSIH 2.0, dan bukannya kerana aktiviti yang berkaitan dengan komunisme.

Dalam sidang akhbar PSM di Kuala Lumpur hari ini, peguam Edmund Bon (dua dari kanan) - yang mewakili PSM6 mendedahkan kandungan afidavit tersebut.


Afidavit itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam oleh penolong pengarah tahanan (D7B) di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat polis Bukit Aman, ACP Kamarul zaman Mamat.

Ia adalah jawapan kepada afidavit yang dikemukakan oleh ahli keluarga PSM6 untuk menyokong permohonan habeas corpus mereka, yang akan didengar pada hari Jumaat.

Dokumen tersebut dengan jelas menyatakan sebab-sebab penahanan enam aktivis PSM itu.

"...kerana saya percaya terdapat alasan-alasan bahawa pemohon pertama, pemohon kedua, pemohon ketiga, pemohon keempat,
pemohon kelima dan pemohon keenam terlibat sebagai penggerak kepada pertubuhan tidak berdaftar BERSIH yang telah menggerakkan gabungan kumpulan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) supaya orang ramai hadir Perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur pada 9hb Julai 2011," kata ACP Kamarul Zaman Mamat.

Afidavit Kamarul juga berkata perhimpunan itu harus dielakkan kerana ia akan menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam serta boleh mengakibatkan gangguan terhadap kehidupan harian masyarakat yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, sehingga ramai orang awam membuat laporan polis menyatakan kegusaran mereka.

Bagi menyokong dakwaannya itu, ACP Kamarul berkata, perhimpunan pertama Bersih pada November 2007 telah mengakibatkan huru-hara, kemusnahan harta benda dan memudaratkan ketenteraman awam.

Menteri de facto Undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz
sebelum ini berkata enam aktivis PSM itu disyaki bertindak untuk memulihkan komunisme.

Bon berkata, afidavit itu membuktikan bahawa kenyataan Nazri adalah satu pembohongan.

"Semua ini adalah pembohongan kerana pihak polis sendiri tidak menyebut satu perkataan pun tentang komunisme, Chin Peng atau semua perkara mengenainya (dalam afidavit tersebut)," kata peguam tersebut.

Bon mendakwa, kerajaan menggunakan BERSIH 2.0 sebagai sebab yang mudah dan enam tahanan PSM itu sebagai kambing-hitam, hanya untuk mewujudkan keadaan seolah-olah darurat, untuk tidak menggalakkan orang ramai menyertai (perhimpunan) 9 Julai."

Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails