Tuesday, June 7, 2011

Utusan Fitnah lagi..

GEORGETOWN, 6 JUN – Pembohongan terbaru Utusan Malaysia cuba mengaitkan DAP dengan cadangan mengadakan pemilihan bagi jawatankuasa masjid di Pulau Pinang.

Laporan berita Utusan mendakwa kononnya pemilihan itu “dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian”.

Berita Utusan itu menambah, “jika dilaksanakan sepenuhnya, ‘pilihan raya masjid’ itu yang dijangka bermula pertengahan bulan ini akan menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang pernah melaksanakan kaedah pemilihan seumpama itu”.


Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari berkata DAP tidak terlibat sama sekali dengan soal pengurusan masjid di Pulau Pinang yang berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

“DAP tidak ada wakil yang menduduki MAIPP. Jika MAIPP sendiri yang berpendapat langkah itu sesuai, ia terpulang kepada MAIPP dan umat Islam di Pulau Pinang. DAP tidak ada sebarang penglibatan dalam usaha itu,” katanya kepada Roketkini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang dipimpin oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng telah sedaya upaya mengangkat martabat Islam sebagai agama Persekutuan dengan memberi lebih peruntukan kewangan berbanding dengan pentadbiran Barisan Nasional dahulu.

Menurutnya, peruntukan bagi hal-ehwal agama Islam telah berganda dan kian meningkat setiap tahun sejak pentadbiran Pakatan Rakyat mengambil alih negeri pada 2008.

Perbandingan peruntukan Kerajaan Negeri untuk hal-ehwal agama Islam

- 2008 (BN)= RM12.5 juta
- 2009 (PR)= RM20.5 juta
- 2010 (PR)= RM24.3 juta
- 2011 (PR)= RM33.3 juta

“Sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz juga diberi peruntukan tahunan di mana kerajaan BN dahulu tidak begitu bersungguh-sungguh melaksanakannya. Di samping itu, kerajaan negeri Pakatan juga memperuntukkan elaun tambahan sebanyak RM100,000 setahun kepada guru-guru KAFA,” tambah beliau.

Menurutnya, laporan Utusan itu hanya mencerminkan sikap tuan mereka UMNO yang terus mencari jalan untuk membangkitkan kemarahan orang Islam dengan mengaitkan DAP yang dituduh mereka sebagaii cauvinis Cina, mahu campur tangan dalam hal-ehwal masjid.

Sebelum ini Guan Eng telah dituduh mengeluarkan nama Yang di-Pertuan Agong dari khutbah jumaat, menyembelih lembu Hari Raya Korban dan mengharamkan perarakan Maulidur Rasul. Semua tuduhan itu dibuktikan palsu.

Zairil mengingatkan orang ramai terutamanya umat Islam supaya tidak mudah percaya dengan dakyah Utusan yang sanggup bermain dengan fitnah demi kepentingan politik UMNO.

“Sikap bijak dan berani yang ditunjukkan oleh pemimpin dan ahli PAS yang tidak percaya kepada Utusan yang cuba campur tangan dalam pemilihan parti itu baru-baru ini patut menjadi contoh kepada semua rakyat khususnya orang Melayu,” tambahnya.

Roketkini.com

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails