Friday, June 10, 2011

UMNO bukan nampak hipokrit.. Tapi memang HIPOKRIT!!

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Umno memperlihatkan sikap hipokrasi mereka dengan menentang pendirian terbaru PAS, yang minggu lalu mengetengahkan konsep negara berkebajikan.

Sehubungan itu kata Asri (gambar), Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan mewakili suara orang Melayu, seharusnya mengalu-alukan perubahan pendirian PAS yang sebelum ini dilabel sebagai konservatif dan fanatik.

“Saya tidak tahu apa pendirian Umno sebenarnya. Dulu Umno yang mengecam PAS kata dikuasai oleh golongan ulama, sekarang golongan profesional ada, mereka masih hentam.

“Saya lihat Umno macam hipokrit... dulu dia (Umno) yang mengatakan bahawa PAS ini (parti) jumud, jadi saya lihat ini sikap yang tidak betul,” kata beliau.


“Kita tidak sepatutnya hentam mereka, sebaliknya perlu terbuka dan mengalu-alukan perubahan pendirian PAS ini... dulu bukan Islam takut dengan konsep negara Islam, sekarang PAS lebih terbuka, lebih ke depan daripada Umno... patut Umno alu-alukan dan bukannya mengkritik PAS,” kata beliau.

Tenaga akademik ini mengulas perkembangan kritikan ke atas PAS sejak pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.

Dalam komen balasnya semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata konsep negara berkebajikan dibawa Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah selari dengan kehendak Islam.

Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Justeru kata Menteri Besar Kelantan itu, kedua-dua perkara tersebut membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.

Kata Nik Aziz, berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat.

Ini pandangan kedua Asri mengenai pendirian PAS yang menyentuh konsep negara berkebajikan.

Sabtu lalu, beliau menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.

Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Kata Asri, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.

Dalam ulasan terbaru ini, Asri berkata, pendirian Umno seolah-olah menunjukkan bahawa “keadaan sudah terbalik” memandangkan parti itu ditolak ke belakang manakala PAS pula kelihatan dan menunjukkan sikap keterbukaan.

“PAS kini nampak lebih terbuka macam Umno dalam tahun 1980-an, patut Umno lebih mengalu-alukan perubahan sikap PAS... dulu mereka yang hentam ulama PAS, kononnya PAS ini fanatik... sekarang sudah terbalik keadaan,” kata Asri lagi.

“Sekarang PAS sudah berubah, Umno pula menentang. Saya pun tidak tahu apa yang Umno buat, saya rasa Umno sudah silap perhitungan,” katanya lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails