Wednesday, June 22, 2011

Transparency International sokong BERSIH.

KUALA LUMPUR 22 JUN : Badan Bukan Kerajaan (NGO) Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap agenda himpunan BERSIH 2.0 untuk mendesak pilihan raya bersih, bebas dan adil di Negara ini.

Presidennya Datuk Paul Low berkata, masyarakat umum tanpa mengira ideologi politik harus menyokong apa yang diperjuangkan BERSIH 2.0 kerana apa jua keputusan pilihan raya sepatutnya menyerlahkan kehendak masyarakat.

"Perjuangan menentang korupsi di mana- mana negara bermula dari atas arena politik. Bermula dengan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil di mana integriti proses pilihan raya dijaga rapi," tegas Paul dalam kenyataan medianya hari ini.


BERSIH 2.0 merancang untuk mengadakan perhimpunan raksaksa 9 Julai depan setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini gagal melakukan reformasi di bawah pemerintahan Kerajaan Pusat pimpinan UMNO BN.

Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah, agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

BERSIH 2.0 yang mendapat sokongan Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) bersedia menggerakan himpunan aman bagi menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan rakyat besar- besaran pada kali pertama yang diadakan pada November 2007.

TI-M sebagai badan yang memperjuangkan ketelusan mengulai pendirian mereka agar agensi kerajaan bertindak tegas terhadap segala dakwaan korupsi termasuk pembelian undi serta cara berkempen sewaktu pilihan raya yang dikelolai oleh SPR.

Malah SPR sepatutnya menetapkan undang- undang pelaksanaan pembiayaan pilihan raya dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencegah sebarang salah laku.

Paul Low juga berkata, TI-M telah mengajukan 22 cadangan untuk penambahbaikan politik termasuk pilihan raya kepada Perdana Menteri pada 5 Mei 2011 lalu.

"TI-M sejak 2009 telah mengadakan kajian, khidmat konsultasi, bengkel untuk penambahbaikan pembiayaan politik negara ini. SPR dan parti-parti politik turut mengambil bahagian dalam kajian dan konsultasi," jelasnya.


TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails