Friday, June 17, 2011

Serangan Siber : Bukti lemahnya pentadbiran Najib.

Walaupun sudah diberikan "amaran awal" beberapa hari, namun sistem keselamatan komputer negara tidak berupaya untuk menghalang penggodam dari menceroboh sehingga akhirnya kerajaan dimalukan apabila lebih 50 lamanweb telah gagal diakses pada hari semalam.

Serangan semalam menunjukkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia atau ringkasnya MAMPU jelas hanya gempak pada nama dan strategi, tetapi terdedah fakta yang mereka tidak mampu dan kosong pada isi serta kebolehan di bidang teknologi maklumat.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula hanya gah menghabiskan wang berjuta ringgit mengedarkan netbook-netbook percuma tetapi dari sudut ilmu, kesemuanya hampas. Yang kaya hanyalah pembekal-pembekal komputer bersama-sama syarikat-syarikat kroni yang makan persen.- Komen Greenboc


Penggodam uji strategi: Pakar

KUALA LUMPUR: Pakar teknologi maklumat (IT) tempatan berpendapat serangan terhadap laman web kerajaan sejak malam kelmarin, hanya strategi percubaan kumpulan penggodam terbabit sebelum mereka melancarkan 'perang sebenar' yang lebih serius tanpa memberi sebarang amaran awal pada masa depan.

Jururunding Keselamatan di sebuah syarikat IT di ibu negara, Hazrul Hamzah, berkata kumpulan penggodam terbabit dipercayai ada muslihat tertentu kerana sanggup memaklumkan secara terbuka menerusi internet mengenai tarikh dan masa mereka akan melakukan serangan berkenaan.

“Kumpulan penggodam terbabit pasti tahu bahawa pihak kerajaan sudah tentu akan mengambil segala langkah yang mampu untuk mematahkan serangan berkenaan, justeru, dipercayai mereka tidaklah sebodoh itu.

“Serangan setakat ini dipercayai hanya untuk menguji serta menjadikan kerajaan leka seolah-olah sudah berjaya mematahkannya, sebelum mereka menggodam dan melakukan kerosakan yang jauh lebih serius tanpa amaran terlebih dulu pada suatu masa nanti.

“Selain itu, kumpulan penggodam terbabit juga sudah berjaya mendapat publisiti meluas yang dikehendaki untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa mereka membantah tindakan kerajaan mengenakan tapisan terhadap internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.

“Mereka jelas berpegang teguh kepada prinsip kebebasan mendapatkan maklumat,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Sebanyak 51 laman web dengan domain .gov.my diserang sejak jam 11.30 malam kelmarin sehingga pagi semalam menyebabkan sekurang-kurang 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

Serangan itu dikesan berlaku lebih awal daripada ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa menggelar diri mereka ‘Anonymous’ untuk menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui ‘Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi semalam.

Hazrul berkata, ‘Anonymous’ boleh disifatkan sebagai sebuah organisasi tersusun dan disertai ramai penggodam antarabangsa yang memiliki kepakaran tinggi dalam bidang IT.

“Justeru, kerajaan diharap jangan cepat berasa lega apabila dapat mematahkan serangan ‘Anonymous’ kali ini, sebaliknya mesti mengambil tindakan segera untuk mempertingkatkan keselamatan rangkaian internet kerajaan sebelum mereka melancarkan serangan sebenar pada bila-bila masa yang tidak diketahui,” katanya.


Berita Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails