Saturday, June 11, 2011

Pengedar Video Lucah diberi perlindungan Khas?

SEPANG, 11 Jun — Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa individu menyebarkan VCD lucah yang dikaitkan dengan dirinya mendapat “perlindungan khas” ekoran kegagalan pihak berkuasa membuat sebarang tangkapan sehingga kini.

“Siapa tauke besar di Malaysia boleh edarkan VCD lucah ini? Sudah tentu dia tauke besar... siapa yang buat ini sudah tentu diberikan perlindungan dan jaminan.

“Apa jaminannya? Untuk jatuhkan Anwar Ibrahim, selepas kes liwat tidak berjaya sekarang video seks pula,” katanya pada pada ceramah perdana Agenda Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi di sini, malam tadi.


Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata sepatutnya polis sudah melakukan tangkapan memandang VCD lucah itu telah diedarkan di seluruh negara.

Justeru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas memberitahu, kegagalan polis menyebabkan banyak persoalan yang timbul mengenai siapa yang mengedarkan VCD lucah yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

“Saya difahamkan polis sedang cuba untuk mencari siapa yang mengedarkan video lucah ini, kita tahu siapa (yang edarkan) tapi polis kata mahu lakukan siasatan.

“Namun sehingga kini polis kata mereka masih gagal buktikan siapa yang terbitkan (video lucah), boleh percayakan? Kadang-kadang polis ini mahu permainkan kita.

“Polis kata tidak tahu tapi kita tahu, siapa yang boleh cetak dan terbitkan video lucah ini? Mengapa tiada tangkapa dibuat,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang penduduk di kawasan itu.

Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata pihaknya masih belum mempunyai sebarang petunjuk baru atau membuat tangkapan berhubung pengedaran video lucah yang dikaitkan dengan Anwar (gambar).

Beliau berkata pihaknya masih melakukan siasatan berhubung kes itu.

“Tiada perkembangan baru atau tangkapan berhubung perkara itu.

“Kami memang sedari bahawa video itu sedang diedarkan di negeri ini dan mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana mengedarkan barangan lucah,” katanya.

Sejak bulan lalu, pengedaran VCD lucah ini mula diedarkan di sekitar negeri Selangor, malah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga menerimanya.

Difahamkan selain diedarkan dalam ceramah yang dianjurkan Pakatan Rakyat, VCD lucah itu juga diposkan ke rumah pemimpin parti perikatan itu.

Terbaru Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin telah menerima VCD lucah itu yang diposkan ke rumahnya di Ampang.

Dalam ceramah itu juga Anwar menasihatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim agar melakukan lebih banyak transformasi tanpa membelakangkan kepentingan rakyat.

“Selangor mesti terus melakukan pembangunan, tarik lebih banyak pelabur tapi jangan lupa matlamat... iaitu pembangunan insan bukan buka gedung, buka kilang tapi pendapatan rendah, bukan naikkan harga minyak yang akhirnya rakyat merana dan ini bertentangan dengan prinsip Islam.

“Kita mesti melakukan ihsan, berikan keadilan dan jaga kebajikan rakyat, jadi kita perlu perbanyakkan program yang memberi matfaat kepada masyarakat,” katanya.

Kata Ketua Umum PKR itu, setiap janji dibuat mesti dikotakan agar rakyat tidak rasa tersisih.

“Jangan kita sambil melakukan pembangunan (pada masa sama) kita robohkan pula.

“Jadi pemimpin bukan hanya pandai bercakap tapi mesti menunjukkan keilkhlasan jiwa kepada rakyat,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails