Tuesday, June 7, 2011

Najib salahguna Harta Kerajaan lagi..

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan program pribadi untuk menguruskan perkahwinan anaknya dengan dicampuradukkan dengan program kerajaan semasa ke Kazakhstan sekarang.

Sebenarnya tindakan Najib yang didakwa menggunakan program peribadi untuk menguruskan perkahwinan anaknya dengan dicampuradukkan dengan program kerajaan semasa ke Kazakhstan sekarang atau menyalahguna harta kerajaan ini bukanlah satu perkara yang serius buat pencacai UMNO..


Kerana apa yang jelas ada dalam kotak pemikiran mereka ialah Harta Kerajaan itu adalah Harta UMNO dan Harta UMNO itu pula adalah milik Mak Bapak mereka.. sebab itulah kita sering melihat Harta Kerajaan contohnya seperti Dewan Orang Ramai dan peralatan yang berada didalamnya di milik UMNO kan oleh pencacai UMNO..

Malah beberapa peralatan didalam Dewan Orang ramai di Pulau Pinang ini sendiri telah dilarikan mereka setelah UMNO/BN tumbang di Pulau Pinang pada PRU yang lalu.. maka tinggallah Dewan yang kosong buat Pakatan Rakyat..

Najib dikecam guna program rasmi untuk urusan pribadi

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan program pribadi untuk menguruskan perkahwinan anaknya dengan dicampuradukkan dengan program kerajaan semasa ke Kazakhstan sekarang.

Tindakan ini disifatkan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad sebagai langkah yang 'tidak ada kelas langsung'.

Kecaman ini dibuat ekoran tindakan Najib menggunakan segala kemudahan kerajaan dan wang rakyat untuk memenuhi keperluan keluarganya di Kazakhstan sekarang.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan pribadi," kata Dr Dzulkefli kepada Harakahdaily.

"Ini pula bukan pertama kali. Semasa anaknya menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika dia dan keluarga juga ke sana dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," kata beliau.

Semalam Harakahdaily melaporkan, Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke Kazakhstan untuk menguruskan perkahwinan anaknya, Noryana Najwa dengan seorang anak pembesar negara itu.

Untuk memenuhi hasrat itu, beliau dikatakan meminta program rasmi kerajaan diatur untuk beliau dan rombongan ke sana. Perkara ini dikesali oleh pelbagai pihak termasuk wartawan yang menyertai program beliau itu.

Hasilnya, kerajaan terpaksa menanggung segala perbelanjaan bukan sahaja untuk beliau berdua bahkan juga menteri, wartawan dan pegawai kerajaan yang terpaksa mengiringi beliau ke sana.

Dalam sejarah Islam, kata Dr Dzulkefly, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah memadamkan lilin milik negara apabila ada yang datang bertemu beliau untuk berbincang hal pribadi.

"Mana pergi good governance, intergriti kepimpinan dan ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada beliau dan bakal menjadi suri tauladan kepimpinan BN dan pegawai kerajaan di bawah beliau," katanya.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat pernah dibangkitkan perbelanjaan besar yang dibuat oleh Rosmah dan kini ia berlaku lagi.

Dr Dzul yakin, jika perkara ini diodit oleh jabatan kerajaan tidak akan ditemui kesalahannya berdasarkan ianya mengikut prosedur biasa kerajaan iaitu mendapat kelulusan dari Perdana Menteri.

"Tetapi dari segi moralnya ia sangat salah," tegas Dr Dzulkefly .

Bagi beliau, apa yang berlaku adalah Najib dan Rosmah mengatur program kerajaan ke Kazakhstan untuk memenuhi program pribadinya iaitu menguruskan perkahwinan anaknya.

"Di sinilah masalahnya akan timbul apabila kepimpinan tertinggi menunjuk sikap yang buruk, apa pula orang bawahnya nanti, menteri, ketua setiausaha, OCPD dan sebagainya ...kalau bos kencing berdiri, anak buah kencing berlari," kata beliau.

Jika Najib dan Rosnah benar-benar bertanggungjawab, mereka berdua akan menyusun jadual cutinya untuk kepentingan keluarga dan pribadinya bukannya mengambil kesempatan atas urusan kerajaan.

"Hentikanlah, cukuplah tu.....susunlah cuti dengan baik, guna duit sendiri untuk lunas tanggungjawab kepada anak dan keluarga, inilah mulanya penyelewengan....bila kepimppinan tertinggi tunjukkan sikap hodoh dan buruk," kata beliau.

Najib mesti telus

Sementara itu, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Najib supaya telus dan tidak mengambil kesempatan di atas urusan rasmi untuk sebarang urusan peribadi apatah lagi apabila menggunakan wang kerajaan yang juga wang rakyat.

"Kalau benda (dakwaan) ini betul kenapa Najib nak rahsiakan? Beliau kena cakap terus teranglah. Kalau betul beliau ke sana atas urusan peribadi janganlah guna harta kerajaan dan harta rakyat. Jangan berselindung di sebalik lawatan rasmi.

"Kalau betul anaknya akan berkahwin dengan anak pembesar Kazakhstan saya ucapkan tahniah tapi gunalah duit sendiri yang sudah banyak tu..tak payahlah guna duit rakyat.," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menambah, rakyat boleh menerima sekiranya najib menggunakan wang kerajaan untuk urusan rasmi dan ada hasil terhadap negara daripada lawatan tersebut.

"Sekali lagi saya minta beliau berterus teranglah. Kalau pergi (ke Kazakhstan) atas urusan rasmi itu cerita lain dan kita harap akan dapatlah hasilnya terhadap negara daripada lawatan rasmi ini," katanya.


Najib bakal berbesan dengan pembesar Kazakhstan?

KUALA LUMPUR, 6 Jun: Apakah tujuan sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri ke Kazakhstan, atas urusan rasmi negara atau untuk menguruskan perkahwinan anaknya, Nooryana Najwa?

Inilah persoalan yang ditimbul oleh ramai wartawan termasuk yang menyertai rombongan Najib ke Kazakhstan.

(Gambar: Noryana Najwa bersama ibu dan bapanya ketika menerima ijazah dari Universiti Georgetown, Washington, Mei lalu)

Ini kerana, menurut laporan portal Eurasia, Najib bakal mendapat menantu anak seorang pembesar Kazakhstan bernama Daniyar Nazarbayev.

Menurut laporan portal itu, anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa telah ditawan hatinya oleh seorang bangsawan Kazakhstan ini.

Nooryana Najwa, 22, pada 22 Mei lalu menerima ijazah Bachelor of Science in Foreign Science dari Universiti Georgetown, Washington, selepas empat tahun belajar di School of Foreign Service, universiti berusia 222 tahun itu.

Nama akhir Daniyar iaitu Nazarbayev adalah sama dengan nama President Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev – namun, menurut laman portal Eurasia, mereka mungkin tidak mempunyai sebarang kaitan.

“Seorang jejaka dengan nama Daniyar dengan nama akhir yang pelik, dilihat tidak kurang kontroversinya daripada ibunya dalam hal perkahwinan. Terdapat khabar bahawa beliau telah menawan hati Nooryana Najwa, anak perempuan Perdana Menteri Malaysia, dan akan mengahwininya tidak lama lagi,” tulis Leonid Komarovskiy, seorang “wartawan” daripada New York di bawah artikel bertajuk “Borat is out of competition.”

Keseluruhan artikel Leonid menyentuh tentang latar belakang Daniyar, yang didakwanya mempunyai kehidupan yang serba mewah dan penuh kontroversi kerana nama akhir “Nazarbayev” yang diberi ibunya selepas penceraiannya dengan suami terdahulu D. Kesikbayev sebelum berkahwin dengan Bolat Nazarbayev, seorang ahli kerabat Presiden Kazakhtan.

“Pada Oktober 2006, New York Post telah melaporkan Daniyar Nazarbayer, yang dinamakan di dalam tulisan mereka sebagai ‘anak kepada President Nursultan Nazarbayev’, telah membeli beberapa apartment di 55 Wall Street.

Salah satu apartment dengan dua bilik bernilai $2.9 juta dan satu lagi dengan satu bilik bernilai $2.1 juta. Saya tak tahu ia benar ataupun khabar angin, tapi akhbar melaporkan bahawa ‘President Nazarbayev telah melawat rumah tersebut sendiri semasa menghadiri UN Summit (Persidangan PBB) dan memberikan kebenaran untuk pembelian tersebut. Ia nampaknya melibatkan banyak duit,” tulis Leonid lagi.

Dalam tulisannya lagi, Leonid berkata Daniyar patut berterima kasih kepada emaknya Mayra Kurmangaliyeva untuk nama akhir beliau dan segala transformasi yang berlaku kerana nama akhir tersebut.

“Beliaulah yang dapat menawan Bolat Nazarbayev ke jaringannya – satu saudara tulen (ada yang mengatakan ialah adik-beradik) kepada President Kazakh – dan berkahwin dengannya, supaya dapat cepat-cepat melupakan suami dulu D. Kesikbayev, yang nama akhirnya dimiliki Daniyar sebelum menerima surat lahirnya yang kedua dengan nama akhir Nazarbayev,” dakwa Leniod lagi.

Disebabkan itu, Leonid dalam tulisannya turut menyuruh Najib untuk berhati-hati dan menyiasat latar belakang Daniyar sebelum apa-apa berlaku.

“Mengapa tidak (untuk berkahwin dengan Daniyar)? Seorang jejaka terkenal, penuh adunan dan dengan nama akhirnya yang cukup menawan… tapi, jika saya ialah bapa Malaysia, saya akan semak dulu takut-takut: adakah Daniyar sudah berkahwin semasa zaman muda? Buah epal adalah dari pokok epal, seperti yang kita tahu… dan Alma-Ata (ibu kota Kazakhstan) ialah bandar buah epal dan pokok epal,” nasihat Leonid.

Najib kini dalam lawatan ke Kazakhstan yang dikatakan untuk lawatan rasmi selama dua hari ke negara bekas Soviet Union itu.

Lawatan rasmi pertama Najib ke Kazakhstan selepas menjadi Perdana Menteri ini adalah antara lain bagi memenuhi jemputan Presiden Nursultan Nazarbayev.

Ketika lawatan itu, Najib dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan rakan sejawatannya, Karim Massimov.

Lawatan rasmi Najib ke Kazakhstan dan penyertaan beliau dalam WIEF ke-7 akan mengukuhkan hubungan politik yang akrab selain merintis laluan ke arah kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Kazakhstan demi manfaat bersama.

Jika benar laporan Eurasia, tahniah diucapkan kepada keluarga Perdana Menteri atas berita gembira perkahwinan anaknya.

Sekiranya ini betul berlaku, sudah tentu pilihanraya umum ke 13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat.


Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails