Tuesday, June 7, 2011

Muktamar PAS : Mahathir meluahkan sakit hatinya..

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pihak menang besar di sebalik pemilihan PAS hujung minggu lalu, dilihat sebagai pertembungan kumpulan ulama dan profesional, adalah tokoh-tokoh yang tidak hadir dan bukan ahli PAS khususnya Karpal Singh.

Dengan nada menyindir, bekas perdana menteri berkata, syabas dan tahniah kepada Karpal kerana “akhirnya perjuangan mu menentang negara Islam PAS sudah berjaya.”

Kata Dr Mahathir (gambar), yang kalah ialah puak ulama manakala yang menang ialah puak kopiah hitam, penyokong Anwar.


Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, perjuangan Karpal, selaku Pengerusi DAP kebangsaan, supaya PAS menggugurkan matlamat mendirikan negara Islam, yang akan menguatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai.

“Karpal tidak perlu mati untuk PAS langkah mayatnya.

“Belum pun dia mati, PAS sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama,” kata beliau dengan merujuk kepada ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lalu, menekankan bahawa PAS akan berjuang untuk negara berkebajikan.

Ucapan Hadi bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.

“Tidak ada banyak laporan berkenaan perbincangan atau perbahasan berkenaan dengan pengenepian asas penubuhan parti PAS iaitu mendiri negara Islam.

“Dengan begitu mudah asas ini digugurkan,” kata Dr Mahathir lagi.

Dr Mahathir mendakwa PAS berbuat demikian kerana ingin menghalalkan kerjasama DAP, khususnya Karpal.

“Lebih tepat lagi ialah kerana PAS tidak sanggup berhujah dengan Karpal Singh,” katanya lagi.

Anwar, yang dipecat Dr Mahathir pada September 1998, kini mengetuai Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh DAP, PAS dan PKR.

Dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan Ke-57, Ahli Parlimen Marang ini berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.

“Contohnya dengan mewajibkan bayaran zakat kepada orang Islam, dan cukai kepada bukan Islam dengan kadar kemampuan dan galakan yang meningkatkan produktiviti pendapatan mereka.

“Kerajaan juga tidak boleh menyekat kekayaan yang halal, tidak menipu, tidak menindas dan tidak rasuah,” katanya.

Hadi menjelaskan, PAS percaya bahawa perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan.

“PAS yakin bahawa keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara,” kata beliau lagi.

Bekas menteri besar Terengganu ini berkata, PAS telah melaksanakan sebahagian daripada konsep negara berkebajikan di negeri yang diperintahnya, mengikut kemampuan dan bidang kuasa yang ada di Kelantan dan Kedah, pernah di Terengganu dan Perak dan memperkenalkan di negeri PAS menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, PAS bersama Pakatan Rakyat telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga yang dilancarkan.

“Sebenarnya sebahagian daripada Buku Jingga pernah dilaksanakan di negeri yang kita perintah, seperti pembatalan tol, pembatalan cukai yang membebankan rakyat dan memudahkan perkhidmatan asas yang menyentuh rukun hidup rakyat,” katanya.

“Kita telah membuktikan kemampuan memerintah selama dua puluh tahun di Kelantan dan di negeri lain, dengan kadar hasil yang tidak boleh difikir mampu oleh mereka yang berfahaman kebendaan.

“Apatah lagi kini kita tentunya lebih yakin berkemampuan kerana hasil dan sumber negara tidak bocor dengan rasuah, membazir dan mewah,” kata beliau lagi.

Kata Hadi, negara berkebajikan yang ingin dicapai bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata kerana “kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang bertaburan” di sana sini tetapi jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat.

Oleh itu katanya, negara yang diinginkan ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails