Saturday, June 11, 2011

Kenapa BERSIH perlu disokong?

SHAH ALAM 11 JUN : Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu menjelaskan, tujuan utama PAS meluluskan usul menggesa seluruh rakyat Malaysia menyertai himpunan Bersih 2.0, hanyalah kerana mahu menuntut sebuah pilihan raya yang adil dan telus dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.

" Yang kita hendak buat dalam Himpunan Bersih 2.0, di mana kita menyokong himpunan ini kerana kita hendakkan keamanan negara. Biarlah siapa menang pun, rakyat terima keputusan pilihan raya. Amat merbahaya dalam sesebuah negara apabila rakyat tidak terima keputusan pilihan raya,"katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Tv Selangor.


Menurut Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, pendaftaran warga asing di Selangor yang berleluasa kebelakangan ini begitu membimbangkan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini tampil membuat laporan polis berhubung pendaftaran warga asing sebagai pengundi di kawasan Hulu Selangor.

Kegiatan ini yang dikenali sebagai 'projek IC', dahulunya begitu meruncing di Sabah dan Sarawak.

Bekas ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Chong Eng Leong mendedahkan, hasil penyelidikannya selama 15 tahun — yang dimuatkan dalam bukunya Lest We Forget — menganggarkan kira-kira 600,000 pendatang haram diberikan kewarganegaraan bawah projek di Sabah.

Lantaran itu kata Mat Sabu, PAS mengambil pendirian tegas turun di jalanan bagi menuntut hak rakyat memilih wakil mereka terpelihara.

PAS pada Muktamar ke-57 meluluskan usul supaya seluruh ahli PAS di semua peringkat harus menyertai himpunan tersebut kerana empat tuntutan Bersih 2007 tidak dipenuhi kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Diuja persoalan apakah PAS yang kini bergabung bersama Pakatan Rakyat yakin gagasan pembangkang itu mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya nanti, kata Mat Sabu, hanya ketelusan dalam proses pilihan raya yang mampu menentukan segalanya.

" Sebenarnya pilihan raya lepas pun, Pakatan Rakyat sudah berjaya mengambil alih Putrajaya ini. Cuma BN selamat antaranya dengan undi pos, di lebih kurang 25 kerusi parlimen. Kemudian selamat dengan masyarakat Felda yang tertutup. Ini sahaja yang ada pada mereka.

"(Walau bagaimanapun) saya tetap menaruh kebimbangan. Dalam dunia ketiga ini, yang boleh ambil pemerintahan melalui pilihan raya, berubahnya parti pemerintah, hanya India. Lain-lain hanya melalui jalan raya dahulu,"katanya.

Namun katanya, beliau optimis jika semuanya berjalan dengan baik, tiada unsur-unsur penipuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tanggungjawab dengan adil dan saksama, Pakatan akan berada di Putrajaya selepas PRU-13.

" Kalau pilihan raya berlaku dalam suasana yang adil dan saksama, tidak ada penipuan, pendaftaran secara menyeluruh, saya yakin, saya yakin kita boleh mengambil alih Putrajaya,"katanya lagi.

TVS News

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails