Sunday, June 5, 2011

Kemenangan Mat Sabu, Komen TG Nik Aziz (Video Inside)

GOMBAK, 5 Jun — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperakui kemenangan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden baru sambil menyifatkan pemimpin vokal itu menang dengan “undian sah” perwakilan yang yakin kerana kepimpinannya.

Mohamad atau dikenali sebagai “Mat Sabu” menang kerusi nombor dua itu dengan menewaskan dua calon termasuk penyandangnya Nasharudin Mat Isa, sekali gus menyaksikan majoriti barisan kepimpinan parti itu kali ini dikuasai kumpulan profesional.

Dilihat merujuk kepada dakwaan pendaftaran pengundi kalangan rakyat asing menjelang pilihan raya umum, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Mohamad mencapai kejayaannya menerusi undian sah daripada perwakilan PAS.


“Dia (Mat Sabu) bukan menang sebab undi MyKad, bukan undi dari Bangladesh tetapi undi daripada PAS sendiri.

“Perwakilan PAS yakin dengan kepimpinan Mat Sabu. Oleh sebab itu mereka mengundinya,” kata beliau pada ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS di sni malam tadi.

Mohamad memperoleh 420 undi. Nasharudin yang menyandang jawatan itu sejak 2005 hanya menerima 224 undi manakala seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat 399 undi.

Jelas Nik Aziz, Mohamad telah melibatkan diri dalam politik khususnya bersama-sama PAS sejak di peringkat universiti.

Ujarnya, ketika Mohamad masih belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), beliau sudah terlibat dengan PAS.

“Itulah kelebihan Mat Sabu sebenarnya,” ujar Nik Aziz lagi.

Selain itu, beliau juga menyatakan rasa bangga apabila musuh-musuh politik membenci presiden dan timbalan presiden PAS — yang dilihat merujuk kepada serangan Umno dan BN terus-menerus dan ia meningkat menjelang pemilihan parti itu.

“Itu perkara bagus pihak lawan benci jawatan utama dalam PAS.

“Saya hanya mendoakan dia (Mohamad) diambil Allah kerana ketaqwaannya,” ujarnya lagi.

Nik Aziz menambah, Mohamad rapat dengan umat Islam, bukan Muslim serta bukan ahli-ahli PAS kerana cara dan perwatakan beliau.

“Dia lebih rapat dengan orang bukan Muslim disebabkan dia mudah mesra.

“Saya pun tidaklah rapat sangat sepertimana Mat Sabu rapat,” ulas Nik Aziz lagi.

Sehubungan itu, beliau yakin Mohamad boleh memainkan peranan segera untuk memikat golongan bukan Islam dan bukan ahli PAS menyokong parti itu dalam pilihan raya umum.

“Kita sudah ada pemimpin yang rapat dengan orang sekeliling. Ini akan memudahkan PAS menarik undi,” tambah Nik Aziz.

Dalam ceramahnya, Naib Presiden PAS baru Datuk Paduka Husam Musa pula berkata, mandat diberikan perwakilan merupakan satu tanggungjawab besar.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu menambah, beliau berharap barisan kepimpinan 2011-2013 mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

“Rumah Umno sudah hampir runtuh. Kita perlu tunjangi PAS dan melalui sebuah proses demokratik dengan adanya barisan kepimpinan ini.

“Kita tak pindah dari konsep kepimpinan ulama walau sedetik kerana kita dididik oleh ulama dan kepimpinan tertinggi PAS juga merupakan golongan ulama,” katanya.

Menyentuh mengenai Himpunan Sejuta Belia yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, Husam beranggapan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak umpama petanda Putrajaya akan “jatuh.”

“Hal ini kerana Najib memberi amanat kepada generasi muda agar mempertahankan Putrajaya pada hari tersebut.

“Dalam ucapan Najib tempoh hari, nampak seperti Putrajaya ingin jatuh. Saya nak tanya, Putrajaya memang nak jatuh kah, sampai perlu mengumpul sehingga beribu-ribu belia dan memberi amanat?

“Kalau Umno di ambang kejatuhan... apa tunggu lagi. Takkan nak tunggu sampai rumah runtuh baru nak lari. Saya harap rakan dalam Umno juga boleh sama-sama kami berjuang untuk ke Putrajaya kerana rumah mereka sendiri sudah nak runtuh dah,” katanya lagi.

Selain Husam, dua lagi naib presiden ialah Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar yang mempertahankan kerusi mereka.

Selain kedua-dua mereka, ceramah turut disampaikan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad, Salahuddin dan Mahfuz.

Muktamar 2011 akan berakhir petang ini. - The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails