Tuesday, June 21, 2011

Din Binjai, Rais diperintah fail pernyataan

KUALA LUMPUR 20 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan penulis blog, Amizudin Ahmad supaya memfailkan pernyataan saksi dalam kes saman fitnah oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu sebelum atau pada 1 Julai ini.

Kedua-dua pihak diarah berbuat demikian oleh Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof sebelum perbicaraan kes saman itu didengar selama tiga hari bermula 4 Julai ini.

Peguam Azad Bashir yang mewakili Rais selaku plaintif memberitahu pemberita, hari ini pihaknya telah memfailkan ikatan dokumen dan isu-isu yang dipersetujui selain kenyataan fakta untuk diputuskan oleh mahkamah.


Dalam pengurusan kes yang dibuat di kamar hakim itu, peguam C.W. Gan mewakili Amizudin yang dinamakan sebagai defendan.

Pada 26 April lalu, Azad memberitahu bahawa Rais akan memberi keterangan sebagai saksi utama dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap Amizudin pada 31 Januari lalu.

Rais menyaman Amizudin yang juga anggota jawatankuasa sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog defendan itu, bersama gambar Rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lalu.

Plaintif pada 2 Februari lalu, memperoleh injunksi yang memerintahkan Amizudin menarik balik artikel yang memfitnah beliau daripada blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com. dan defendan pada 21 Mac lalu bersetuju berhenti menyiarkannya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata, maksud artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah dirinya dan ia membawa makna beliau bersalah melakukan jenayah serius merogol serta mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.


Lidah Rasmi UMNO

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails