Friday, June 17, 2011

Bukan Ahli Akademik saja kuat mengipas, Prof.. Ahli PKR pun ramai ..

Profesor Dr Abdul Aziz Bari mendakwa disebabkan budaya mengampu yang begitu menebal di kalangan golongan cendikiawan atau ahli akademik di negara ini mereka bersikap membisu dan tidak berani menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu, terutama melibatkan kepentingan rakyat.

Beliau juga mengharapkan bila Pakatan menang pilihan raya nanti jangan biarkan budaya mengampu ini berterusan..

Hmmm.. sepatutnya begitu.. dulu aku sering memerhatikan gelagat pemimpin-pemimpin UMNO/BN bila menyambut kehadiran PM disebarang majlis.. berebut-rebut mereka untuk menghampiri PM.. hanya untuk menunjukkan muka dan bersalam dengan PM tak kira PM yang manapun..


Itu dulu.. tapi sekarang bila aku aktif dalam PKR apa yang aku nampak tak banyak bezanya dengan apa yang berlaku dalam UMNO/BN dalam hal bodek ini..

Bila Anwar diberitakan akan hadir dalam sesuatu majlis maka timbullah muka-muka yang mengaku dirinya sebagai pemimpin menonjolkan diri mereka dalam Majlis itu..

Berhenti saja kereta Anwar, berlumbalah mereka nak membuka pintu kereta Anwar, macamlah Anwar tak tahu nak buka pintu kereta tu sendiri.

Bila Anwar nak makan pula maka berebut-rebutlah mereka untuk berada disebelah Anwar bagi menunjukkan kesetian mereka kepada Anwar.. faham betul-betul kesetiaan kepada Anwar bukan PKR..

Anwar nak basuh tangan kelam kabutlah mereka menghulurkan bekas basuh tangan kepada Anwar..

Bila Anwar bertanya hal berkenaan akar umbi.. tak ada masaalah.. semua baik jawab mereka biarpun ada yang dah kehilangan 12 AJK baru-baru ini..

Biarpun majlis belum tamat bila Anwar meninggalkan majlis merekapun turut menghilangkan diri, yang terbaru ialah kejadian di Yayasan Aman baru-baru ini..

Kerana geram dengan perangai manusia macam tu dalam PKR.. baru-baru ini di Yayasan Aman seseorang telah aku jadikan mangsa..

Anwar dijadualkan berada dalam satu Majlis di Yayasan Aman pada pukul 2.00 petang, pada pukul 1.30 datang seorang ketua AMK dari sebuah Cabang yang 12 AJKnya telah meletakkan jawatan.

Dia masuk pintu pagar Yayasan Aman terus menuju kepada aku dan bertanya “Datuk Seri sudah sampai atau belum?”

Aku jawab dah sampai.. tapi dia keluar sekejap pergi makan kenduri.

Dia Tanya pula “Kenduri dimana?” entahlah jawab aku..

Aku suruh dia tunggu sekejap nanti Anwar datang semula lebih kurang pukul 4.30, maka diapun tunggulah padahal Anwar dah datang pukul 11 pagi lagi.. 4.30 tu flight dia dah landing di KL.. padan muka mamat tu..


Ramai ahli akademik menikus, kuat ‘mengipas’ – Prof Aziz Bari

KUALA LUMPUR: Ramai golongan cendikiawan atau ahli akademik di negara ini bersikap membisu dan tidak berani menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu, terutama melibatkan kepentingan rakyat.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, ia disebabkan budaya mengampu yang begitu menebal di kalangan mereka dan ketakutan sekiranya terlepas jawatan atau kenaikan pangkat.

“Ketakutan ini sudah merebak ke mana-mana; dari istana sampai ke badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya, universiti, syarikat kerajaan (GLC), JKKK, pegawai agama dan lain-lain.

“Di universiti pun begitu; amat ramai profesor yang menikus kerana mereka mimpi dan melobi jawatan; nak jadi naib canselor, rektor, timbalan naib canselor, dekan dan macam-macam lagi.

“Ada yang berangan-angan nak dapat gelaran tan sri, datuk, nak jadi anggota majlis itu dan ini. Yang sudah pencen berangan-angan hendakkan kontrak perkhidmatan mereka disambung dan macam-macam lagi.

“Tetapi punca besar ialah kerana mereka tahu mereka tak layak, tak cukup ilmu dan mereka mendapat kedudukan itu kerana mereka kuat mengipas dan membisu, ” kata Aziz kepada Keadilandaily.com.

Takut ‘tiang’, ‘pintu’ pun lapor Pejabat PM

Aziz berkata, disebab budaya takut kepada Umno dan agensi yang diwujudkan kerajaan, ramai golongan cendikiawan termasuk di universiti tempatan merasakan pangkat dan kedudukan mereka tergugat, sekiranya bersuara terhadap sesuatu isu.

“Mereka takut kerana mereka berasa Umno dan agen-agen mereka berada di merata tempat.

“Mungkin mereka berasa yang tiang dan pintu pun boleh melaporkan apa yang mereka kata kepada pejabat perdana menteri.

“Sebab itu mereka takut untuk ikut peraturan yang ada, bagi mereka apa yang perlu ialah mereka berbuat sesuatu yang mereka fikir akan menyeronokkan pemimpin Umno,” kata pakar perlembagaan itu lagi.

Ketika ditanya mengenai masyarakat yang semakin hilang rasa hormat terhadap golongan intelektual ini, Aziz berkata, ia sudah tidak penting lagi kepada mereka.

“Mereka tidak peduli orang hormat atau tidak. Bagi mereka, yang penting dapat apa yang mereka mahu dan dinobatkan jadi tokoh itu dan ini, jadi profesor ulung dan sebagainya,” ujar beliau lagi.

Menurut Aziz, majoriti profesor di universiti umpamanya lebih selesa untuk ‘duduk diam’ atau menyokong kerajaan, daripada bersikap kritis terhadap sesuatu isu.
“Nak sebut yang salah apa lagi lah. Nak sebut yang betul – tanpa menyalahkan – pun tak berani,” ujar beliau.

Ditanya apakah saranan beliau kepada golongan berkenaan, Aziz berkata “Biarkan mereka terjun dengan labu-labu mereka”.

“Lagipun lebih penting, kembali kepada rakyat; kepada mereka yang komited dan kita kena pantau mereka; jangan nanti bila tukar kerajaan mereka datang (kepada pembangkang) pula dan mengatakan dulu mereka sokong (dalam hati).

“Bila (Pakatan) menang (pilihan raya) nanti jangan biarkan budaya mengampu ini berterusan,” katanya.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15289

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails