Monday, June 20, 2011

Anak siapa di sebalik IPP ?



KUALA LUMPUR, 20 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendesak kerajaan mendedahkan syarat perjanjian dengan penjana tenaga bebas (IPP) kepada rakyat yang didakwa merugikan negara.

Sambil mempersoal kenapa kerajaan begitu takut mendedahkannya, beliau juga mendesak kerajaan mendedahkan kenapa perjanjian itu turut dibantah pihak Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Kementerian Kewangan.


"Dedahkan kepada rakyat, kenapa Petronas bantah, TNB bantah dan apa pendapat Kementerian Kewangan ketika itu.

"Siapa di sebalik IPP, siapa nominee tertentu di Hongkong, anak siapa", soalnya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Menurut Anwar, perjanjian dengan IPP diluluskan semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad atas nasihat Unit Perancang Ekonomi EPU.

Perjanjian itu dibantah Bekas Ketua Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope, Bekas Ketua Eksekutif Petronas dan Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Terdahulu Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh membahaskan peruntukan tambahan RM13.2 bilion di Dewan Rakyat.

Beliau berkata amat tidak munasabah perbelanjaan tambahan sebanyak itu dalam keadaan belanjawan asal RM162.8 bilion baru sahaja diguna dalam masa tiga bulan.

"Yang dimusykilkan adalah peningkatan 5 peratus emolumen. Apakah muslihat meninggalkan peruntukan emolumen yang wajib dimasukkan," katanya.

Isu IPP itu pula disentuh ketika beliau mengemukakan laporan pembayaran subsidi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri untuk petrol, desel dan Gas petroleum cecair LPG bernilai RM7.4 bilion.

Namun yang dipertikaikan subsidi gas untuk syarikat swasta IPP adalah lebih tinggi iaitu RM20 bilion untuk 2010 dan RM22 bilion untuk 2011.

"Kita berbalah soal istilah, RM22 bilion kepada IPP dikata isentif, RM20 juta kepada rakyat dikata subsidi. RM200 juta kepada kementerian dikatakan komisyen, RM20 kepada sarjan dikatakan korupsi.

"Sekiranya subsidi untuk IPP ini dikurangkan atau dihapuskan, sudah tentu belanjawan tambahan RM13 bilion ini tidak diperlukan sama sekali.

1MDB, kenyataan PM bercanggah

Anwar turut mendakwa kenyataan Datuk Seri Najib berhubung keuntungan 1Malaysia development Berhad (1MDB) bercanggah dengan penyata kewangan syarikat itu.

Najib sebelum ini mengumumkan 1MDB untung RM425 juta pada tahun pertama berakhir 31 Mac 2010.

Namun penyata kewangan enam bulan pertama 1MDB menunjukkan syarikat itu rugi RM20.5 juta.

1MDB didakwa membuat pelaburan melibatkan usahasama dengan PetroSaudi International Limited dikenali 1MDB PetroSaudi Limited berjumlah RM3.5 bilion yang dibayar secara tunai.

Pelaburan itu kemudiannya dijual kepada penjual asal, PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 bilion dengan keuntungan diperoleh sebanyak RM615 juta.

Bagaimanapun bayaran RM4.1 bilion itu dibuat kepada 1MDB secara ansuran selama 11 tahun.

"Persoalannya, apa jaminan 1MDB akan memperolehi semula wang tunai RM3.5 bilion dan keuntungan RM615 juta", soalnya.

Turut dikhuatiri, 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi International Limited bukan syarikat operasi minyak sebenar.

Ia didakwa diperbadankan di Cayman Island dan British virgin Island dimana maklumat kewangan dan transaksi syarikat dirahsiakan dari umum.

"Ia merupakan saluran menggelap wang pinjaman melalui pengeluaran bon 1MDB", katanya.


Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails